TANJUNG MANIS: Acara Safari Memancing Tanjung Manis 2025 menggambarkan kekuatan ekosistem dan alam sekitar yang lestari.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, ia merupakan hasil inisiatif pembangunan yang terus memberi penekanan terhadap aspek kelestarian alam sekitar.
Jelasnya, ini selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan pemeliharaan ekosistem.
"Dengan pendekatan ini, kita dapat memastikan bahawa pembangunan yang dijalankan akan memberi manfaat ekonomi sekali gus menjaga keseimbangan ekosistem untuk generasi akan datang.
"Oleh sebab itulah, acara seperti Safari Memancing ini menggambarkan kekuatan ekosistem dan alam sekitar yang lestari di samping berfungsi sebagai jambatan aspirasi yang menghimpunkan dan mempereratkan lapisan masyarakat, agensi Kerajaan, swasta dan komuniti melalui minat bersama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penangguhan Safari Memancing Tanjung Manis 2025 di Jeti Tanjung Manis pada Ahad.
Majlis penangguhan tersebut telah disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Tambahnya, program memancing ini juga dapat melihat penglibatan aktif masyarakat yang secara langsung membina semangat kekitaan, perpaduan serta kualiti hidup yang lebih sihat.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu menambah, antara inisiatif Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam usaha aspek kelestarian alam sekitar adalah dengan penanaman tukun tiruan di sepanjang perairan negeri memberi tumpuan kepada kawasan utama di persisiran Sarawak seperti di Kuala Rajang, Belawai, Pulau Bruit termasuk Kabong.
"Pendekatan yang telah kita ambil setakat ini dapat dilihat dalam peningkatan penangkapan ikan yang mampan, yang sejajar dengan usaha kita dalam memelihara alam sekitar," ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir Yusuf Abdul Wahab, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (PUSAKA) Zainal Abidin Abdullah, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS