BETONG: Ekspo Pendidikan dan Hari Kerjaya PPD Betong inisiatif yang amat signifikan dalam memperkasa halatuju pendidikan dan kerjaya anak-anak Sarawak.
Menurut Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu, ekspo ini bukan sekadar pameran — tetapi platform penting untuk membimbing, memberi pendedahan serta mencetus inspirasi kepada pelajar khususnya pelajar Tingkatan 5 yang akan menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi.
Katanya, ia juga merupakan medan untuk menanam kesedaran bahawa pilihan selepas sekolah menengah adalah luas, sama ada melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, mengikuti latihan kemahiran, menyertai pasaran kerja, atau menceburi bidang keusahawanan.
“Dalam kerangka PCDS 2030, pendidikan dan pembangunan bakat adalah nadi yang menggerakkan pertanian moden, tenaga hijau, ekinomi digital, pelancongan dan pembuatan bernilai tambah.
“Setiap anak di Betong harus mendapat laluan yang jelas daripada sekolah ke kemahiran, daripada kemahiran ke kerjaya, daripada kerjaya ke kesejahteraan keluarga,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Pendidikan Sarawak 2025 Peringkat Daerah Betong dan Hari Kerjaya pada Sabtu.
Katanya, Sarawak juga melangkah setapak lebih berani dengan komitmen pendidikan tinggi percuma di institusi milik Sarawak bermula 2026.
Ini isyarat jelas agar tiada anak Sarawak tercicir ke IPT disebabkan faktor kewangan, tegas beliau lagi.
“Keperluan industri, terutama tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, ekinomi digital, menuntut TVET yang mampan dan bertaraf industri. MEITD memadankan latihan dengan permintaan sebenar pasaran pekerjaan.
“Sementara institusi seperti CENTEXS dan Sarawak Skills terus mengemaskini modul - daripada automasi, fiber optik, tenaga, hinggalah teknologi baru muncul,” tambah Dato Dr. Richard lagi.
Dedahnya, kadar kebolehpasaran graduan TVET Sarawak yang tinggi beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan Sarawak berada di landasan yang betul.
Pada majlis itu, turut diadakan simbolik penyerahan Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak (Peringkat PPD Betong) bernilai RM193,000 untuk 865 orang pelajar manakala Biasiswa Tempatan Yayasan Sarawak (Peringkat PPD Betong) bernilai RM94,400 untuk 118 orang pelajar.
Selain itu, turut diadakan penyampaian insentif Hadiah Cemerlang SPM 2025 melibatkan seramai 44 orang penerima, masing-masing menerima sijil penghargaan dan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN)bernilai RM500.
Manakala insentif Hadiah Cemerlang STPM 2025 melibatkan seramai 27 orang penerima, masing-masing menerima sijil penghargaan dan SSP BSN bernilai RM700. - EDISI UKAS