BINTULU: Pusat Falak Bintulu menjadi mercu tanda baharu ilmu falak moden di Sarawak, menggabungkan tuntutan agama dengan kemajuan sains astronomi untuk manfaat umat Islam dan masyarakat.
Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin berkata, pusat ini bukan sekadar sebuah bangunan atau infrastruktur, sebaliknya merupakan pusat ilmu yang akan memainkan peranan penting dalam aktiviti cerapan, penyelidikan dan pendidikan falak.
“Antara fungsi utama pusat ini ialah menjalankan aktiviti rukyah dan cerapan objek-objek langit seperti hilal, bulan, matahari, planet, bintang, buruj, nebula dan pelbagai fenomena astronomi lain.
“Cerapan hilal amat penting dalam menentukan awal bulan Islam termasuk Ramadan dan Hari Raya.
“Pusat ini turut dilengkapi peralatan optik canggih bagi memastikan cerapan dilakukan dengan tepat dan berkualiti tinggi,” katanya ketika berucap semasa majlis perasmian Pusat Falak Bintulu di sini, pada Selasa.
Majlis perasmian Pusat Falak Bintulu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Mengulas lanjut, beliau berkata Pusat Falak Bintulu juga berperanan sebagai pusat penyelidikan yang menyediakan kemudahan kepada para penyelidik dan pakar falak untuk mengembangkan ilmu serta menghasilkan inovasi baharu dalam bidang sains angkasa.
Selain itu, ujarnya pusat ini juga akan menjadi pusat pendidikan falak dan sains astronomi moden, serta rujukan utama bagi masyarakat yang ingin mendalami bidang tersebut.
“Menariknya, pusat ini turut berkonsepkan astro-pelancongan yang membolehkan pengunjung menyaksikan keindahan alam semesta menerusi cerapan menggunakan teknologi terkini,”jelas beliau.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS