KMKK Mainkan Peranan & Tanggungjawab Penting Sebagai Ketua Dalam JKKK

Disiarkan pada 27 May 2024
Sumber Berita: ukas



KUCHING: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memainkan peranan dan tanggungjawab yang penting sebagai ketua di dalam Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, mereka juga menjadi penghubung rakyat dengan pejabat kerajaan di peringkat kampung. 

"Saya berharap KMKK yang dilantik sentiasa menjalankan amanah dengan baik serta bertanggungjawab dalam menjalankankan tugas sebagai perantara di peringkat kampung," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Bersama Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum N.15 Asajaya bertempat di Hotel Grand Mergherita di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya menambah, KMKK di daerah Asajaya telah menunjukkan kefahaman dan kerjasama yang sangat baik. 

Justeru itu, kerjasama yang baik ini diharap dapat membantu dalam memajukan serta menyelesaikan permasalahan di peringkat kampung.

Dalam program yang sama, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah menyampaikan cek bernilai RM300,000 bagi membina dewan masyarakat Tokong Sam San Kuok Bong di Kampung Sambir.

Hadir sama dalam program hari ini ialah Pegawai Daerah Asajaya Rais Ahmat, wakli Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Hoenes Ruebesch Buda Vincent Sawing, Temenggung Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang, Temenggong Masyarakat Cina Bahagian Samarahan Pemanca Liew Shark Sen dan Temenggong Masyarakat Iban Bahagian Samarahan Geoffrey Mamat Kucai. -EDISI UKAS