Tema Pesta Benak 2025 Fokus Promosi Fenomena Unik Batang Lupar

Disiarkan pada 06 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Pesta Benak Sri Aman edisi ke-22 yang bakal berlangsung dari 19 hingga 21 September 2025 bakal mengetengahkan tema “Terokai Keunikan dan Cabaran Fenomena Benak di Batang Lupar, Sri Aman”.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis berkata, tema berkenaan memberi penekanan kepada promosi fenomena semula jadi unik sebagai aset pelancongan dan kajian saintifik di negeri ini.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan mengetuai delegasi Jawatankuasa Induk Penganjuran Pesta Benak 2025 mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak pada Rabu.

Pesta yang bakal berlangsung di Tebingan Sungai Sri Aman ini dijangka menarik perhatian pengunjung tempatan dan antarabangsa untuk menyaksikan fenomena benak, iaitu gelombang pasang surut sungai yang hanya berlaku di beberapa lokasi terpilih di dunia.

Selain itu, pelbagai aktiviti kebudayaan, sukan air, pameran, dan persembahan pentas dijangka memeriahkan pesta kali ini.
Dalam sesi pertemuan itu juga, Datuk Francis turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Pehin Sri dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi untuk menyempurnakan Majlis Penutupan Pesta Benak 2025 yang dijadualkan pada 21 September.

Tun Pehin Sri menzahirkan penghargaan atas usaha penganjuran acara tahunan yang memperkenalkan Sri Aman ke persada pelancongan dan menyatakan harapan agar Pesta Benak dapat diperkasa lagi menjadi acara bertaraf antarabangsa.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang dan beberapa pegawai kanan dari Majlis Daerah, agensi kerajaan serta Pejabat Residen Bahagian Sri Aman.-EDISI UKAS
Credit Foto: Astana Negeri Sarawak