MIRI: Persatuan Bolasepak Bahagian Miri (Miri FA) menegaskan komitmen mereka terhadap pembangunan akar umbi dan belia menerusi Mesyuarat Agung Tahunan Ke-7 yang diadakan di Hotel Mercure, Miri pada Ahad.
Mesyuarat tersebut menghimpunkan ahli-ahli gabungan dan wakil kelab di bawah naungan Miri FA bagi membincangkan pencapaian dua tahun lalu serta hala tuju baharu bagi sesi 2025–2027.
Turut diadakan semasa mesyuarat ialah pemilihan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) baharu yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Sophie Shariee.
Dalam ucapannya, beliau menyeru semua pihak agar memperkukuh kerjasama dalam membangunkan ekosistem bola sepak di Bahagian Miri secara menyeluruh.
“Pembangunan akar umbi tidak boleh dipandang ringan. Penglibatan aktif kelab-kelab tempatan dalam program pembangunan bola sepak termasuk aspek kejurulatihan dan kepengadilan perlu diberi penekanan agar usaha kita berterusan dan berkesan,” tegasnya.
Barisan kepimpinan baharu Miri FA bagi sesi 2025–2027 yang diumumkan ialah Mohamad Saif Jubaidi sebagai Presiden, dibantu oleh Nazri Ahmad Lai sebagai Timbalan Presiden, serta Ahmad Mujahid Ahmad Najib sebagai Setiausaha dan Zainuddin Rakawi sebagai Bendahari.
Turut dilantik sebagai Naib Presiden ialah Sabri Amin, Wan Nudzurulisyam Wan Bujang, Pengiran Bala, Elizabeth Oyau dan Mohd Azra Ayub.
Dengan pelantikan ini, Miri FA menyasarkan pengukuhan struktur pertandingan tempatan, peluasan program pembangunan belia, serta pemantapan jaringan strategik bersama kerajaan, sektor swasta dan komuniti untuk memperkasakan landskap bola sepak Miri secara inklusif dan progresif.-EDISI UKAS