Sungai Bersih, Hidup Sihat: Program Kesedaran Sungai Katibas Dapat Sambutan Hangat

Disiarkan pada 03 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KAPIT: Lebih 200 penduduk tempatan membanjiri Rumah Panjang Sinau ak Jangan di Batu Labang, Katibas bagi menghadiri Majlis Penangguhan Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai Katibas yang dianjurkan oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSSS) Cawangan Song pada Sabtu.

Majlis yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan, turut dihadiri Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak merangkap ADUN Daro, Safiee Ahmad, serta barisan pegawai kanan pelbagai agensi kerajaan.

Program dua hari itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat setempat tentang kepentingan menjaga kebersihan dan keselamatan sungai yang menjadi nadi kehidupan penduduk luar bandar.

Dalam ucapannya, Safiee menekankan bahawa sungai bukan sahaja menjadi sumber air bersih dan makanan, malah turut berperanan sebagai laluan pengangkutan penting.

Beliau turut mengingatkan orang ramai tentang kepentingan penggunaan jaket keselamatan dan larangan membawa muatan berlebihan ketika menggunakan pengangkutan air.

“Menjaga sungai bukan tugas sekali-sekala, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan demi generasi akan datang,” ujar beliau.

Majlis turut diserikan dengan sesi ucapan alu-aluan oleh Tuai Rumah Sinau Jangan yang menyatakan penghargaan kepada pihak penganjur kerana memilih rumah panjangnya sebagai lokasi program.

Sementara itu, ADUN Katibas, Lidam Assan dalam ucapan perasmiannya memuji inisiatif yang memperkukuh kesedaran awam terhadap kepentingan sungai sebagai habitat semulajadi bagi spesies ikonik seperti Empurau, Semah dan Tengadak.

“Kebersihan sungai adalah penanda aras kualiti hidup kita. Saya difahamkan anak ikan Tengadak turut dilepaskan ke sungai hari ini sebagai langkah pemuliharaan spesies tempatan,” kata beliau.

Sebagai tanda sokongan terhadap komuniti, Lidam turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM6,000 bagi setiap pintu untuk 23 pintu rumah panjang bagi kerja-kerja baik pulih Rumah Panjang Sinau.

Beliau juga meluluskan geran RM5,000 kepada JKKK rumah panjang sebagai galakan untuk terus menganjurkan program seumpamanya.-EDISI UKAS