BINTANGOR: Kejohanan Bola Keranjang 12 Tahun Ke Bawah (12TKB) dan 18 Tahun Ke Bawah (18TKB) Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sarawak Tahun 2025 menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu, membina jati diri serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata penganjuran kejohanan seperti ini mampu menyuburkan potensi murid melalui pendekatan sukan yang sistematik dan inklusif.
“Kejohanan ini bukan sahaja menguji kemahiran teknikal dan strategi permainan, tetapi turut memupuk nilai integriti, daya tahan, kerjasama dan kepimpinan.
“Dalam dunia yang semakin mencabar, aktiviti kokurikulum seperti sukan merupakan pelengkap utama kepada kecemerlangan akademik,” katanya semasa merasmikan majlis penutupan rasmi kejohanan itu yang dianjurkan bersama oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tong Hua dan Skeolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Daik di Dewan SMK Tong Hua pada Jumaat.
Kejohanan ini diadakan di dua lokasi berbeza iaitu kategori 12TKB diadakan di SJKC Min Daik manakala 18TKB berlangsung di SMK Tong Hua.
Ia disertai oleh 348 pemain dari 9 bahagian seluruh Sarawak, melibatkan 132 pemain kategori sekolah menengah dan 216 pemain kategori sekolah rendah.
Datuk Ding menekankan bahawa kehadiran pasukan dari pelbagai latar belakang merupakan bukti semangat perpaduan dan keterangkuman dalam kalangan pelajar, di samping menunjukkan kematangan pengurusan kejohanan merentas budaya dan komuniti.
“Dalam dasar pendidikan negara, sukan diiktiraf sebagai komponen penting dalam melahirkan murid cemerlang secara holistik.
“Kejohanan sebegini harus dimanfaatkan untuk mencungkil bakat baharu, membina jaringan antara sekolah, dan memupuk budaya sihat,” ujarnya.
Beliau turut menyeru agar kerjasama antara sekolah, sektor swasta dan institusi sukan terus diperkukuh demi pembangunan atlet yang mampan dan berdaya saing.
Dalam pada itu, sebagai tanda sokongan, beliau turut menyerahkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM8,000 kepada Lembaga Pengurus Sekolah SJK (C) Tong Hua, RM 2,000 kepada SMK Tong Hua dan RM 15,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tong Hua sempena sambutan Hari Koperasi sekolah tersebut tahun ini.
Turur hadir dalam majlis itu ialah Pegawai Pendidikan Daerah Meradong Sharifah Idawati Wan Ahmad, Pengetua SMK Tong Hua Lau Sie Ngo, serta barisan Guru Besar Daerah Meradong.-EDISI UKAS