Belia Perlu Kuasai Teknologi, Manfaatkan Ekonomi Digital

Disiarkan pada 02 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


DARO: Golongan belia perlu berani meneroka peluang dalam bidang ekonomi digital, termasuk pemasaran affiliate, sebagai salah satu cara menjana pendapatan sampingan yang mampan dan selari dengan perubahan landskap ekonomi global.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, penguasaan terhadap kemahiran teknologi dan keusahawanan digital memberi kelebihan kepada belia untuk terus bersaing dalam dunia serba pantas hari ini.

“Pemasaran digital, khususnya pemasaran affiliate, merupakan antara platform yang mudah diakses dan berpotensi tinggi dalam membantu golongan belia, termasuk di kawasan luar bandar, untuk menambah pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Program Pembangunan Usahawan Belia bertemakan “Generate Income from Affiliate Marketing” sempena Pesta Daro 2025, di Dewan Masyarakat Daro pada Jumaat.

Menurut Safiee, penganjuran program seperti ini bukan sahaja menyokong usaha kerajaan untuk memperkasa belia melalui latihan dan pendedahan praktikal, malah membuka ruang kepada anak muda luar bandar untuk memanfaatkan potensi pemasaran digital secara lebih serius.

Program itu berjaya menarik penyertaan seramai 130 orang peserta dari pelbagai latar belakang, khususnya belia tempatan yang berminat menceburi bidang keusahawanan digital.

Program ini juga merupakan salah satu inisiatif penting dalam menyemarakkan lagi Pesta Daro 2025, dengan memberi fokus bukan sahaja kepada hiburan dan kebudayaan, malah pembangunan modal insan generasi muda tempatan.-EDISI UKAS