KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) bersedia untuk melaksanakan projek jalan sempadan yang menghubungkan negeri ini dengan Kalimantan, Indonesia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perancangan berkaitan jalan sempadan tersebut telah dikemukakan lebih awal oleh kerajaan negeri dan kini sedang melalui peringkat perancangan lanjut selepas mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan.
“Ini satu perancangan yang kita sedang buat dan kita telah berunding dengan Kuala Lumpur dan ia telah diluluskan. Jadi, kini dalam perancangan,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Memperingati Hari Bandaraya Kuching Ke-37 di Pangkalan Sapi, di sini, pada Jumaat.
Berhubung lokasi projek jalan sempadan itu, Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak memaklumkan beberapa kawasan telah dikenalpasti berdasarkan jaringan jalan sedia ada.
“Ada beberapa tempat kerana sekarang kita sudah ada banyak jaringan jalan raya – seperti Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) 1, SSLR 2, Lebuh Raya Pan Borneo dan beberapa lagi lebuh raya.
“Kita juga ada beberapa projek di kawasan sempadan dan kita akan lihat bagaimana ia boleh disambungkan nanti,” tambahnya.
Terdahulu, Perdana Menteri semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen pada Khamis mengumumkan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur penting yang bertujuan memperkukuh keterhubungan dan pembangunan rentas sempadan.
Menurut laporan BERNAMA, antara inisiatif yang diumumkan termasuk menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Rantau Panjang; Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sabah dan Sarawak serta pembinaan Jambatan Rantau Panjang–Sungai Golok yang menghubungkan Malaysia dan Thailand.
Turut diumumkan ialah cadangan menaik taraf Pelabuhan Darat Perlis sebagai laluan perdagangan strategik Malaysia–Thailand, menaik taraf jaringan jalan raya sempadan yang menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia serta pembangunan Rangkaian Transit Sistem (RTS) Link yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.-EDISI UKAS