BINTANGOR: Inisiatif Program MyLesen yang akan dilaksanakan di kawasan DUN Meradong akan memberi manfaat besar kepada penduduk, khususnya pelajar dan belia yang ingin mendapatkan lesen motosikal kelas B2 pada kadar mampu milik.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, program ini memberi peluang kepada pelajar berumur 16 tahun ke atas untuk memiliki lesen motosikal B2 pada kadar bayaran hanya RM250.
“Ia sudah tentu meringankan beban kewangan keluarga, terutama bagi mereka dari golongan berpendapatan rendah,” ujar Datuk Ding semasa menerima kunjungan hormat daripada Ketua Cawangan JPJ Sarikei, Yusuf Andan pada Selasa.
Kunjungan hormat itu bagi membincangkan pelaksanaan program tersebut yang telah mendapat kelulusan rasmi daripada Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS).
Katanya, program yang menyasarkan 1,500 peserta ini akan berlangsung dari Ogos hingga November 2025 dengan latihan akan dijalankan di Dewan SMK Kai Chung, manakala ujian dan peperiksaan akan diadakan di Halaman Dewan Masyarakat Bintangor.
Datuk Ding dan Yusuf turut meninjau kedua-dua lokasi pelaksanaan program.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah atas kesediaan memberikan kerjasama serta kemudahan bagi menjayakan program ini.
“Program ini bukan sekadar memudahkan proses mendapatkan lesen, tetapi juga merupakan pelaburan untuk keselamatan dan masa depan generasi muda,” tambah beliau.
Kepada yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan di Pusat Khidmat DUN N.46 Meradong atau di Kedai Motosikal Ing Motor, Sarikei.
Turut hadir ialah Penolong Kanan SMK Kai Chung Kuok Sing Ling dan Pengerusi Lembaga Sekolah SMK Kai Chung, Dato Ung Sing Ung.-EDISI UKAS