SEBUYAU: Komitmen PETRONAS dalam memperkasa pendidikan dipuji melalui pelaksanaan Program Jangkauan Luar MLNG Bestari yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau pada Sabtu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi menzahirkan penghargaan kepada syarikat Malaysia LNG (MLNG), anak syarikat PETRONAS, atas inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat besar kepada pelajar luar bandar.
"Sumbangan yang bermakna ini akan terus memperkasakan tahap pendidikan di SMK Sebuyau.
"Anak-anak kita di sini bukan calang-calang, mereka berpotensi besar untuk menjadi generasi masa depan yang berilmu, berintegriti dan berinovasi,” katanya demikian ketika merasmikan program tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa SMK Sebuyau telah dikenalpasti sebagai antara penerima manfaat utama program ini bagi tahun 2024.
Justeru, beliau berharap PETRONAS dapat terus memperluas inisiatif pendidikan sebegini kepada lebih banyak komuniti luar bandar di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu turut memaklumkan telah menyumbang kanopi untuk kegunaan sekolah, namun masih belum mencukupi bagi menampung jumlah pelajar yang semakin ramai.
“Kami juga telah menyalurkan bantuan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi membina sebuah dewan komuniti baharu.
“Oleh itu, kehadiran dan sokongan PETRONAS MLNG amat tepat pada masanya dan dihargai, terutama dengan jumlah pelajar SMK Sebuyau yang kini mencecah 936 orang," ujarnya.
Dalam majlis sama, turut diadakan penyerahan beg sekolah kepada murid-murid di samping lawatan bangunan sekolah yang telah siap dibaik pulih dan kediaman asrama yang disediakan kelengkapan asrama sumbangan oleh pihak Petronas.
Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Naib Presiden Kanan Aset LNG PETRONAS Abang Yusuf Abang Puteh, Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Malaysia LNG (MLNG) Mohamed Syazwan Abdullah @ Laga Jenggi, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli, Pengetua SMK Sebuyau, Awang Abas Awang Lawi serta ketua-ketua jabatan, guru-guru dan PIBG sekolah. -EDISI UKAS