SIBU: Klinik Kesihatan (KK) Jalan Oya di Sibu menjadi klinik kesihatan pertama di Sarawak yang mempunyai bangunan unit respiratorinya sendiri dan kini dibuka kepada orang ramai.
Pembinaan bangunan itu bermula pada November 2023 dengan menggunakan peruntukan di bawah projek kecil luar bandar (MRP) dengan kos keseluruhan RM150,000 dan telah siap pada April 2024.
Majlis perasmian pembukaan bangunan itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng di Sibu pada Jumaat.
Joseph Chieng dalam ucapannya berkata, dengan wujudnya bangunan ini, ia boleh membantu mencegah penyebaran penyakit pernafasan kepada pesakit lain yang sedang menunggu untuk berjumpa doktor di klinik tersebut.
Jelas beliau, langkah ini dilakukan dengan mengasingkan mereka dari pesakit lain sehingga dapat diperiksa dan disaring dengan betul oleh doktor perubatan.
“Sebagai klinik yang sibuk dengan purata lebih daripada 1,000 pesakit setiap hari, KK Jalan Oya adalah salah satu klinik utama di Sibu dan pencegahan penyebaran penyakit pernafasan di klinik yang sibuk sebegini adalah sangat penting untuk melindungi penduduk Sibu.
”Jadi, saya memuji Jabatan Kesihatan di Bahagian Sibu kerana proaktif dalam mencegah penyebaran penyakit pernafasan dan kerana datang kepada saya untuk mendapatkan bantuan dalam merealisasikan bangunan ini,“ katanya.
Beliau dimaklumkan bahawa KK Jalan Oya mempunyai sekitar 20 hingga 30 pesakit tuberkulosis yang datang untuk menerima rawatan mereka setiap hari.
Justeru itu, beliau percaya bangunan tersebut juga bakal memberi manfaat kepada pesakit tuberkulosis yang mengunjungi klinik berkenaan.
“Kami semua mengambil berat tentang pesakit TB dan mereka berhak mendapat tempat yang selesa untuk meneruskan rawatan mereka, tetapi kita juga perlu menjaga orang lain untuk mencegah penyebaran tuberkulosis,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya segera melakukan pemeriksaan di unit respiratori di sini sekiranya mengalami gejala batuk berterusan lebih dari dua minggu.
Katanya, ini bagi memastikan mereka mendapat rawatan sewajarnya sekiranya dijangkiti penyakit TB atau penyakit pernafasan yang lain.
Hadir sama pada majlis pelancaran ialah Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun, Pakar Perubatan Keluarga KK Jalan Oya Dr Ngieng Kiong Kiong dan tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS