SRI AMAN: Majlis perasmian gelanggang bola keranjang berbumbung SMK Lingga berlangsung dengan jayanya hari ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan sukan dan pendidikan yang lebih baik kepada komuniti luar bandar.
Projek naik taraf itu melibatkan peruntukan sebanyak RM200,000 yang diluluskan di bawah Peruntukan Khas Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tahun 2024 dan siap sepenuhnya pada 20 April 2025.
Ia merupakan sambungan kepada Projek Mesra Rakyat Parlimen Batang Lupar Tahun 2021, dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Sri Aman selaku agensi pelaksana.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Wan Fadillah Wan Ahmad, Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin dan Pengetua SMK Lingga, Cikgu Mesra Beji.
Kemudahan baharu ini bukan sahaja menyediakan ruang sukan yang lebih selesa dan berbumbung kepada warga pelajar, malah berperanan sebagai lokasi perhimpunan serta penganjuran pelbagai aktiviti sekolah, sekali gus menyokong agenda pembangunan mampan di kawasan luar bandar.
Dalam ucapannya, Mohamad Shafizan turut menzahirkan komitmen terhadap usaha berterusan menambah baik fasiliti pendidikan di sekolah tersebut.
Antara inisiatif susulan ialah peruntukan sebanyak RM100,000 di bawah Projek Infrastruktur Madani (PRISMA) oleh Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak bagi melengkapkan kemudahan dan keperluan elektrik di tapak gelanggang berkenaan.
Beliau juga menyampaikan sumbangan 20 unit Smart TV kepada SMK Lingga sebagai sokongan terhadap pembelajaran digital yang lebih berkesan.-EDISI UKAS