KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) menganjurkan Program Saringan Kesihatan dan Taklimat Amalan Pemakanan Sihat di Bilik Latihan MPKS di sini, hari ini.
Program yang bermula seawal jam 8 pagi hingga 12 tengah hari itu merupakan inisiatif MPKS untuk memupuk budaya kerja sihat dalam kalangan kakitangan, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
Setiausaha Perbandaran MPKS, Gustian Durani turut hadir memeriahkan program yang dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan.
Turut diadakan taklimat pemakanan sihat oleh Pegawai Sains Pemakanan dari Klinik Kesihatan Asajaya, Constance Geoffrey, yang berkongsi amalan pemakanan seimbang untuk diamalkan dalam kehidupan harian.
Menurut Gustian, program ini bukan sahaja membuka peluang kepada warga kerja MPKS untuk menjalani pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah dan paras gula, malah turut memberi pendedahan tentang kepentingan pemakanan sihat secara praktikal.
“Usaha berterusan seperti ini diharap dapat mewujudkan persekitaran kerja yang sihat dan produktif, selaras dengan matlamat MPKS ke arah kesejahteraan komuniti dan penjawat awam yang cemerlang,” katanya.-EDISI UKAS