S.H.I.E.L.D Terus Terajui Liga Perkhidmatan Awam 2025

Posted on 18 Jul 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Pasukan S.H.I.E.L.D terus mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Perkhidmatan Awam 2025 selepas menundukkan Oyehh2 pada minggu kedua saingan di Megalanes Sarawak, Emart Batu Kawa pada 10 Julai lalu.

Pada aksi tersebut, S.H.I.E.L.D menang bergaya 14-6 untuk meraih 37.96 mata Peterson, menjadikan jumlah keseluruhan mata mereka ketika ini sebanyak 80.35 mata.

Kekalahan itu menyaksikan pasukan Oyehh2 jatuh dari kedudukan ketiga ke kedudukan kelapan.

Situasi itu bagaimanapun memberi kelebihan kepada Starlight yang berada di tangga keempat minggu lalu, naik ke kedudukan ketiga.

Nazrin Wagiman dari pasukan S.H.I.E.L.D mencuri tumpuan apabila berjaya mengatasi rekod jatuhan pin peribadi dalam kategori Individual High Game (Scratch) dengan 259 jatuhan pin.

Selain itu, beliau juga mengatasi rakan sepasukannya dalam kategori Individual High Series (Scratch) dengan 892 jatuhan pin, sekaligus menolak Jafni Azman ke kedudukan kedua.

Pasukan JKR Bowlers juga terus bertahan di kedudukan kedua selepas menewaskan pasukan Dynamixxx dengan keputusan 12.5-7.5.

Mereka meraih 36.04 mata Peterson, menjadikan mata terkumpul sebanyak 77.91 mata Peterson setakat ini, hanya 2.44 mata di belakang pasukan pendahulu.

Syed Arbini Juaindi Wan Hussain berjaya meraih tempat kedua dalam kategori Individual High Series (Handicap) dengan 889 jatuhan pin.

Begitupun, persembahan cemerlang beliau bersama Roziana Saimin dan Adrian Chan Fook Weng telah membawa pasukan JKR Bowlers menduduki tempat pertama dalam kategori Team High Game (Handicap) dengan 669 jatuhan pin.

Ketika ini, kedudukan keempat hingga ke-16 masing-masing diduduki oleh The Swk Cops, SUK Bowlers, Pin Pocket, Pins Crusher, Oyehh2, Lucky Strike, Dynamixxx, SDO Mix Crocs dan DE’1D.

Walaupun tewas, pasukan SUK Bowlers tetap menunjukkan prestasi membanggakan melalui pemain mereka Siti Zubaidah Bujang, Nur Rashidah Nawawi dan Ramzul Majdan Yaman yang berjaya menduduki tempat kedua dalam kategori Team High Series (Handicap) dengan 2397 jatuhan pin.

Nur Rashidah turut berjaya mengatasi Nurafidza Mohd Amran dari pasukan S.H.I.E.L.D dalam kategori Best Female (Handicap) dengan 880 jatuhan pin. - EDISI UKAS