Sarawak Himpun Agensi Kerajaan & Industri Pacu Ke Arah Lonjakan Baharu Dalam Semikonduktor

Posted on 19 Jul 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Sarawak Microelectronic Design (SMD) Semiconductor, syarikat semikonduktor milik kerajaan negeri akan menganjurkan Sarawak Semiconductor Syndication Session pada 21 Julai ini di Kuching.

Sesi libat urus ini bakal menghimpunkan 40 pemain utama termasuk kementerian serta agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, institusi pengajian dan latihan, serta pemain industri semikonduktor yang bertujuan mempercepatkan transformasi Sarawak dalam sektor berteknologi tinggi, selaras dengan visi untuk menjadikan negeri ini sebagai Pusat Saraf Silikon Asia.

Program ini merupakan kesinambungan kepada pelancaran Kerangka Strategik Semikonduktor Sarawak dan Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030: Beyond Moore’s Law yang telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di CSA Catapult, Wales pada 29 April lepas.

Sesi ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) bertujuan memastikan visi strategik, diterjemahkan kepada tindakan yang konkrit, nyata dan dapat diukur, dengan meletakkan fokus kepada generasi masa depan dan daya tahan ekonomi Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMD, Shariman Jamil akan memimpin sesi ini dan akan membentangkan pelan hala tuju semikonduktor Sarawak yang menggariskan 10 langkah strategik bagi membina ekosistem semikonduktor yang lengkap menjelang tahun 2030.

Turut menarik perhatian adalah perkongsian daripada Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) mengenai Strategi Semikonduktor Negara (NSS) serta pembentangan oleh Ketua Pegawai Kewangan SMD, Shahril Anas mengenai pembiayaan sektor ini termasuk modal teroka.

“Pendekatan 'bottom-up' ini telah lama menjadi amalan SMD bagi memastikan kerangka yang dibangunkan benar-benar mencerminkan keperluan industri di peringkat tempatan mahupun global di samping membuka peluang kepada rakyat Sarawak.

"Sesi syndication ini akan merealisasikan visi tersebut, mempercepatkan perjalanan Sarawak sebagai Pusat Saraf Silikon Asia.

"Ini bukan sekadar impian tetapi sedang berlaku, dan kami mahu dan mengalu-alukan semua pihak untuk terlibat sama menjayakan aspirasi ini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Sepanjang sesi tersebut, Shariman akan turut mengetengahkan peluang dalam sektor reka cip, penyelidikan & pembangunan (R&D) termasuk 'advanced packaging' iaitu bidang yang mampu menjana pekerjaan berpendapatan tinggi dan merangsang pertumbuhan jangka panjang di Sarawak.

Antara pembentangan yang bakal menjadi perhatian dalam bengkel ini ialah perkongsian daripada Sean Redmond dari Silicon Catalyst UK berhubung landskap semikonduktor UK, selain wakil dari Jabatan Sains, Inovasi dan Teknologi UK (DSIT).

Para peserta dijangka menyumbang strategi yang selaras dengan matlamat Sarawak di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Hasil dan syor strategik daripada sesi ini akan diserahkan secara rasmi kepada Premier Sarawak sekali gus memperkukuhkan 'blueprint' Kerangka Strategik Semikonduktor Sarawak sedia ada," ujar beliau.

Justeru, Shariman berharap sesi sindikasi ini bukan sekadar satu pertemuan tetapi merupakan detik penting untuk memperkasakan bakat tempatan generasi baharu, mengukuhkan peranan Sarawak sebagai kuasa semikonduktor mampan dan memacu penciptaan pekerjaan bernilai tinggi demi kestabilan ekonomi jangka panjang. -EDISI UKAS