MIRI: Sarawak bakal menjadi tumpuan komuniti saintifik antarabangsa apabila menjadi tuan rumah kepada The 17th International Conference on Materials Processing and Characterisation (ICMPC 2025) yang dijadual berlangsung dari 27 hingga 29 November ini di Hotel Imperial, Miri.
Perkara tersebut diumumkan dalam satu sidang media yang diadakan di Universiti Curtin Malaysia pada Jumaat yang turut dihadiri Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Yang.
Menurut Adam Yii, penganjuran ICMPC 2025 adalah selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 khususnya dalam aspek pembangunan bakat dan modal insan berkualiti serta pengukuhan ekosistem inovasi dan teknologi di negeri ini.
“Persidangan ini juga membuka peluang kepada para pelajar dan penyelidik industri tempatan untuk berinteraksi secara langsung dengan pakar-pakar antarabangsa dalam bidang pemprosesan dan pencirian bahan,” katanya.
Persidangan bertaraf antarabangsa itu dianjurkan oleh Universiti Curtin Malaysia dengan kerjasama Gokaraju Rangaraju Institute of Engineering and Technology (GRIET), India, serta mendapat sokongan penuh Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dan Business Events Sarawak (BESarawak).
ICMPC 2025 dijangka dapat memperkukuh lagi kedudukan Sarawak sebagai hab kecemerlangan ilmu dan teknologi di rantau ini serta menyumbang secara langsung kepada pencapaian aspirasi pembangunan negeri menjelang 2030.
Turut hadir, Pro Naib Canselor merangkap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Curtin Malaysia, Profesor Vincent Lee Chiang Chen; Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak, Amelia Roziman, Pengerusi Persidangan ICMPC 2025, Profesor Sujan Debnath; Timbalan Pengerusi, Profesor Swadesh Kumar Singh serta wakil penganjur bersama dari Universiti Teknologi Brunei, Dr Fadzliwati Mohiddin. -EDISI UKAS