BETONG: Persiapan untuk majlis perasmian Jambatan Batang Saribas 1 dijadual diadakan pada Sabtu berjalan dengan lancar.
Bagi memastikan kelancarannya, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut sama turun padang meninjau persiapan akhir dan raptai di tapak majlis berkenaan pada Jumaat.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli serta agensi-agensi terlibat.
Perasmian jambatan tersebut dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dengan terbinanya jambatan tersebut, Bahagian Betong khususnya Saribas bakal menghadapi transformasi besar-besaran dari aspek pembangunan mahupun ekonomi yang akan memberi impak secara langsung kepada rakyat di situ.
Jambatan ini akan membantu memendekkan masa perjalanan penduduk dari kawasan ini ke Pekan Pusa.
Sementara itu, penduduk yang ditemui menzahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang dipimpin oleh Premier Sarawak. - EDISI UKAS