PADAWAN: Kerja-kerja naik taraf tandas di Pasar Sungai Maong, Batu 3, akan bermula pada 21 Julai ini, menurut Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai.
Dalam kenyataan media hari ini, beliau memaklumkan bahawa pemasangan kemudahan tandas sementara telah disiapkan dan kini dibuka untuk kegunaan orang awam serta para peniaga pasar.
“Tandas sementara ini dibina dengan kualiti yang baik dan akan beroperasi mulai hari ini bagi tempoh percubaan selama dua hari. Ia bagi memastikan kemudahan ini berfungsi dengan lancar sebelum kerja-kerja renovasi dimulakan,” katanya.
Tempoh pembinaan bagi projek tandas kekal dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan. Sepanjang tempoh tersebut, tandas sementara akan terus beroperasi bagi memastikan keselesaan pengguna tidak terjejas.
Tan Kai turut merakamkan penghargaan kepada para peniaga dan pengunjung pasar atas kerjasama serta kesabaran mereka sepanjang pelaksanaan projek ini.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan pihak MPP untuk menambah baik kemudahan awam demi mewujudkan persekitaran pasar yang lebih bersih, selamat dan selesa untuk semua,” tambah beliau.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklum balas berkaitan kemudahan sementara tersebut bagi tujuan penambahbaikan berterusan.-EDISI UKAS