30 Rumah Di DUN Mambong Terima Bantuan PPRMS Fasa 2

Posted on 18 Jul 2025
Source of News: ukas


PADAWAN: Sebanyak 30 buah rumah penduduk luar bandar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong melibatkan 17 kampung telah dikenal pasti untuk menerima bantuan di bawah Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS-MRP) Fasa 2 Tahun 2025.

Majlis cabutan undi kontraktor bagi pelaksanaan projek ini telah diadakan di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Mambong dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil.

Dalam taklimat ringkas beliau, Datuk Dr. Jerip menjelaskan bahawa projek PPRMS merupakan satu inisiatif penting Kerajaan Sarawak untuk membantu penduduk luar bandar yang memerlukan pembaikan asas kediaman.

“Setiap rumah akan menerima peruntukan sebanyak RM15,000 dan tiada cukai SST dikenakan bagi pelaksanaan projek ini.
"Kontraktor yang dipilih diingatkan untuk berbincang dan mendapatkan persetujuan bertulis daripada tuan rumah sebelum memulakan sebarang kerja.

"Borang skop kerja rasmi akan digunakan dan boleh dibatalkan jika pihak tuan rumah enggan memberikan kerjasama," jelasnya lagi.

Datuk Dr. Jerip turut menegaskan bahawa bahan binaan boleh ditarik balik sekiranya tiada komitmen daripada penerima, dan plak projek yang dipasang selepas kerja siap tidak boleh ditanggalkan oleh tuan rumah.

Katanya, kontraktor juga dinasihatkan untuk mengambil gambar sebagai bukti kerja telah dilaksanakan dengan sempurna.

“Projek ini bukan sahaja memberi impak langsung kepada rakyat, malah mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam membangunkan kawasan luar bandar,” tambah beliau.-EDISI UKAS