SEMATAN: Kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan pergigian dalam kalangan murid sekolah terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Hari Pergigian yang berlangsung meriah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sebako, di sini hari ini.
Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang.
Dalam ucapannya, Billy merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pergigian Daerah Lundu serta semua pihak yang terlibat atas penganjuran program berkenaan yang dilihat amat bermanfaat kepada murid dan masyarakat setempat.
Beliau menegaskan bahawa kesihatan pergigian bukan sekadar berkait dengan penampilan fizikal, malah turut memberi kesan langsung kepada tahap kesihatan keseluruhan seseorang individu.
“Gigi yang sihat membolehkan kita menikmati makanan dengan baik, bercakap dengan jelas serta meningkatkan keyakinan diri dalam berinteraksi,” ujar beliau.
Selain itu, beliau turut mengingatkan tentang pentingnya melakukan pemeriksaan gigi secara berkala bagi mengesan sebarang masalah kesihatan mulut pada peringkat awal.
“Saya ingin menggalakkan semua murid, ibu bapa dan guru agar menjadikan pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun sebagai satu kebiasaan,” tambah beliau.
Program tersebut bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada murid tentang kepentingan penjagaan gigi, bahkan turut melibatkan aktiviti pendidikan serta saringan pergigian oleh pasukan pergigian bergerak dari Daerah Lundu.
Turut hadir, Penolong Kanan Pentadbiran SK Sebako, Cikgu Minsui Chuat yang mewakili Guru Besar sekolah; Dr Asilah Anis Ali Yeon, Pegawai Pergigian Daerah Lundu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Cikgu Suhana Penos, Penolong Kanan Kokurikulum, Cikgu Johnny Kiton, pasukan pergigian bergerak, jururawat pergigian serta guru-guru dan ibu bapa murid.-EDISI UKAS