MUKAH: Tindakan pantas pasukan BOMBA, Polis Diraja Malaysia dan Sarawak Energy Berhad (SEB) menangani situasi kecemasan ekoran kejadian ribut yang melanda kawasan Mukah dan Dalat pada malam Khamis mendapat penghargaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.
Beliau turut berterima kasih juga kepada pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) yang segera menyelesaikan isu bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan yang terjejas.
"Terima kasih juga kepada pihak SEB yang segera menyelesaikan isu blackout di beberapa kawasan yang terjejas akibat dahan pokok yang menimpa wayar elektrik," katanya ketika ditemui semasa melakukan tinjauan di kawasan terjejas pada Khamis.
Menurut Royston, tinjauan kawasan mendapati banyak rumah dan infrastruktur terkesan akibat fenomena alam itu.
"Atap rumah tercabut, pokok-pokok tumbang ke jalan utama terutamanya di kawasan pasar Mukah, kanopi-kanopi gerai rosak teruk, tiang lampu jalan tumbang, serta kerosakan pada tempat duduk penonton di Padang Mesra,” kongsinya.
Malah Royston turut sama membantu mengalihkan tiang lampu yang tumbang di tengah jalan berdekatan simpang tiga Lapangan Terbang Mukah malam tadi, sebagai usaha melancarkan laluan trafik dan memastikan keselamatan orang ramai.
Pihak berkuasa terus memantau dan memastikan keselamatan serta pemulihan segera di kawasan terjejas. - EDISI UKAS