MUKAH: Program Pemerkasaan Usahawan Berjaya (PROPUB) hasil kerjasama strategik antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Mukah dan Politeknik Mukah telah menyediakan platform kepada usahawan tempatan berinteraksi dengan agensi-agensi berkaitan, selain mendapatkan maklumat serta sokongan bagi memajukan perniagaan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, PROPUB memberi tumpuan kepada dua kumpulan utama iaitu usahawan tempatan dan individu berpotensi menjadi usahawan dengan pendekatan inklusif dan berimpak tinggi.
“Pendekatan ini selaras dengan agenda kerajaan untuk memperkasakan golongan rentan dan belia, serta membuka ruang kepada mereka yang ingin bangkit dan membina kehidupan baru menerusi keusahawanan,” ujar beliau semasa berucap dalam majlis perasmian prgram berkenaan pada Jumaat.
Tambahnya lagi, kejayaan dalam bidang ini tidak hanya bergantung kepada ilmu dan kemahiran, malah turut memerlukan nilai, etika, integriti serta kecekapan dalam membuat keputusan demi kelangsungan perniagaan.
Sesi townhall selama 90 minit yang dikendalikan oleh Dr Muhammad Shahimi Ariffin dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM Mukah, berjaya menarik minat 60 usahawan muda di mana mereka diberi pendedahan melalui perkongsian pengalaman dua ikon keusahawanan tempatan iaitu Harish Abdullah dari Ajakcut Barbershop dan Leong Bon Huat, aktivis komuniti yang juga usahawan berjaya.
Turut hadir Pengarah Politeknik Mukah Sarawak Suhaili Salleh dan Penolong Rektor UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah Dr Abdul Jabbar Abdullah. -EDISI UKAS