Kelewatan Proses Verifikasi BKK Disebabkan Jumlah Permohonan Tinggi

Disiarkan pada 18 Jul 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Proses verifikasi bagi Bantuan Kewangan Khas (BKK) Sarawak mengalami kelewatan susulan jumlah permohonan yang tinggi, iaitu sebanyak 42,000 permohonan yang diterima setakat ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, proses ini memerlukan ketelitian kerana melibatkan wang bantuan yang perlu disalurkan kepada pemohon yang benar-benar layak
“Jumlah permohonan sangat besar, 42,000. Proses verifikasi perlu dibuat dengan teliti kerana ia melibatkan wang. Kita tidak mahu bantuan ini diberikan kepada mereka yang tidak layak, dan pada masa yang sama kita juga tidak mahu terlepas pandang pelajar yang benar-benar layak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan & Penyampaian Bantuan Pendidikan TCS–Yayasan Taqwa di sini, pada Jumaat.

Menurut beliau, kelewatan juga berpunca daripada keperluan untuk mengesahkan setiap permohonan berdasarkan surat pengesahan daripada universiti masing-masing.

“Kita sangka proses ini boleh dilakukan dengan cepat, tetapi memandangkan ini kali pertama ia dilaksanakan, prosesnya mengambil sedikit masa. Selepas ini, bagi pelajar sedia ada, tiada lagi keperluan verifikasi. Verifikasi hanya akan dilakukan bagi pengambilan baharu sahaja,” jelasnya lagi.

Tambah Datuk Dr Annuar, tarikh tutup permohonan yang asalnya ditetapkan pada 1 Jun 2025 turut dilanjutkan kepada 30 Jun 2025 bagi memberi ruang kepada lebih ramai pelajar memohon.

Mengulas dakwaan bahawa BKK hanyalah janji kosong, Dr Annuar menegaskan bahawa tuduhan tersebut adalah tidak benar.
“Tuduhan bahawa bantuan ini sekadar janji kosong adalah tidak benar. Ia bukan satu pembohongan. Bantuan ini akan tetap disalurkan,” tegasnya.

Untuk rekod, pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian tinggi di institusi pengajian awam dan swasta di seluruh Malaysia layak memohon BKK mulai 1 Mei lalu. Bantuan berjumlah RM1,200 setahun itu disalurkan dalam dua kali bayaran, iaitu RM600 setiap semester menerusi aplikasi SPay Global.

Bagi pelajar di Semenanjung Malaysia, dana berkenaan boleh dipindahkan daripada SPay Global ke akaun DuitNow masing-masing.-EDISI UKAS