DEBAK: Seramai 42 peserta dari Kampung Babu Hilir telah menyertai Kursus Hidroponik Siri 2: In-Situ-Diseminasi Teknologi Tanaman Secara Hidroponik yang diadakan di Dewan Millennia, Debak pada Rabu.
Kursus ini dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Bahagian Betong dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Babu Hilir.
Program ini bertujuan memperkenalkan teknologi pertanian moden berasaskan kaedah hidroponik kepada komuniti luar bandar, sebagai langkah meningkatkan kecekapan pengeluaran tanaman secara mampan dan mesra alam.
Sepanjang kursus, para peserta didedahkan kepada teori dan latihan amali berkenaan teknik asas hidroponik, pengurusan nutrien, pemilihan jenis tanaman yang sesuai serta aspek pemasaran hasil pertanian.
Ketua Kampung Babu Hilir, Abg Mohd Tawfik Abg Bujang menzahirkan penghargaan terhadap semangat tinggi yang ditunjukkan peserta khususnya golongan belia dan suri rumah.
“Kita dapat lihat kesungguhan penduduk dalam mengikuti kursus ini. Ini satu langkah yang sangat positif ke arah pembangunan pertanian komuniti.
“Saya berharap agar pendedahan ini menjadi titik permulaan kepada projek tanaman hidroponik berskala kecil di kampung ini, seterusnya mampu menjana pendapatan sampingan untuk keluarga masing-masing,” katanya lagi.
Beliau turut berharap agar kursus seumpama ini diperluaskan ke kampung-kampung lain dalam usaha memperkasa kemahiran pertanian moden dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Kursus ini juga selari dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh keselamatan makanan negara serta mempromosikan amalan pertanian bandar dan teknologi hijau.
Majlis penutupan kursus disempurnakan dengan kehadiran Temenggong Piee Alwi dan Ketua Kampung Babu Hilir, Debak.-EDISI UKAS