RIMUP Platform Pupuk Perpaduan dan Jati Diri Pelajar

Disiarkan pada 12 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Program Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) disifatkan sebagai inisiatif murni yang memainkan peranan penting dalam memupuk semangat perpaduan dan membentuk jati diri pelajar melalui aktiviti-aktiviti yang bersifat inklusif serta merentasi batasan kaum dan budaya.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang berkata, RIMUP merupakan program yang sangat penting, terutamanya dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Perpaduan bukan sesuatu yang datang secara semula jadi, ia perlu dipupuk, disemai dan dipelihara melalui usaha berterusan.

“RIMUP adalah antara platform terbaik untuk tujuan itu,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian Program RIMUP: Hari Keluarga, Raya Madani bertemakan “Bersama Kita Raikan, Kasih Sayang Dieratkan” anjuran bersama Unit Hal Ehwal Murid, Unit Bimbingan & Kaunseling serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK St. Joseph di Dewan Keogan, SMK St. Joseph, Miri pada Sabtu.

Adam Yii menambah, menerusi program seperti ini, pelajar dapat mempelajari dan menghayati nilai toleransi, semangat kerjasama serta saling menghormati antara satu sama lain, selain membina hubungan yang sihat dan harmoni dalam kalangan rakan daripada pelbagai latar belakang.

“Saya percaya program ini mampu menyumbang kepada pembentukan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mempunyai sahsiah dan nilai perpaduan yang tinggi,” ujarnya.

Beliau turut menyeru para pelajar agar memanfaatkan peluang ini untuk membina persahabatan baharu, menghargai kepelbagaian budaya dan menghayati semangat perpaduan dalam kehidupan seharian.

Turut hadir memeriahkan program ialah Pengetua SMK St. Joseph Peter Use Lenjau, Yang Di-Pertua PIBG Vicky Gulin Shandom, Setiausaha Lembaga Pengurusan Sekolah, Encik Chang Keun Soon, serta wakil Pegawai Pendidikan Daerah Miri Grispin Sahah.

Antara aktiviti menarik yang dianjurkan sepanjang program termasuk sukan rakyat, pertandingan karaoke terbuka, serta ruang pameran yang mengetengahkan kepelbagaian budaya dan kreativiti pelajar.

Penganjuran program ini bukan sahaja berjaya mengeratkan hubungan antara warga sekolah dan komuniti, malah berjaya menyemai semangat perpaduan, kerjasama dan kekeluargaan yang amat penting dalam membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu padu.-EDISI UKAS