Billy Sujang Serah Lima Tapak Projek RTP Bernilai RM670,000 Di Opar

Disiarkan pada 11 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, hari ini melaksanakan lawatan kerja ke lima lokasi bagi menyerahkan tapak projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di sekitar kawasan Opar.

Lawatan anjuran Jabatan Kerja Raya Daerah Lundu itu melibatkan Kampung Temaga Dayak, Kampung Temaga Melayu, SMK Lundu, Kampung Raso 1 dan Kampung Raso 2.

Penyerahan tapak projek kepada kontraktor dilantik bertujuan memastikan pelaksanaan projek RTP berjalan lancar serta memenuhi keperluan dan kehendak rakyat setempat.

Projek yang diserahkan ialah Projek Naiktaraf Balai Raya Kampung Temaga Dayak yang bernilai RM250,000, Projek Naiktaraf Masjid Darul Iman di Kampung Temaga Melayu bernilai RM70,000, Projek Naiktaraf Dewan Makan SMK Lundu Fasa 2 bernilai RM200,000, Projek Baikpulih Bangunan Dapur Biro Wanita Kampung Raso 1 bernilai RM50,000 serta Projek Naiktaraf Kawasan Letak Kereta di Dewan Serbaguna Kampung Raso 2 dengan kos RM100,000.

Jumlah keseluruhan kos lima projek RTP yang diserahkan hari ini adalah sebanyak RM670,000. -EDISI UKAS