46 Guru Besar, Guru Daerah Tatau Terima Sijil Pentauliahan Pegawai KRS

Disiarkan pada 11 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


TATAU: Seramai 46 pegawai Kor Kadet Remaja Sekolah (KRS) dari Daerah Tatau yang terdiri daripada guru besar dan guru menerima sijil pentauliahan jawatan dalam satu majlis di Dewan Terbuka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau, pada Khamis.

Majlis Pentauliahan Pegawai Pengurusan KRS Peringkat Daerah Tatau Tahun 2025 itu telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan KRS Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Omar Mahli.

Menurut beliau, pentauliahan ini merupakan pengiktirafan rasmi kepada guru besar dan guru yang telah melengkapkan latihan serta memenuhi kriteria sebagai pegawai KRS, selaras dengan usaha memperkasa pengurusan pasukan badan beruniform milik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Pentauliahan ini memberi keyakinan diri kepada pegawai dalam aspek ilmu pengurusan serta menjadi asas penting kepada pelaksanaan aktiviti Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) secara tersusun di sekolah dan daerah,” katanya semasa berucap dalam majlis berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa kegiatan kokurikulum, termasuk penyertaan dalam KRS, adalah wadah penting dalam pembangunan potensi murid secara holistik merangkumi jasmani, emosi dan rohani seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Tambahnya, KRS berperanan besar dalam membentuk sahsiah, menyemai nilai perpaduan dan menangani isu salah laku seperti ponteng sekolah, penyalahgunaan dadah serta gejala sosial, sekali gus mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih positif.

Beliau turut menegaskan bahawa pemakaian uniform KRS oleh pegawai yang berkenaan pada setiap hari Rabu sebagaimana digariskan dalam Surat Siaran KPM Bil. 19 Tahun 2013 adalah penting untuk memperkukuh imej dan identiti KRS sebagai satu-satunya pasukan beruniform rasmi di bawah KPM.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai KRS Daerah Tatau-Sebauh merangkap Pegawai Pendidikan Daerah, Fred Entau dan Timbalan Pegawai KRS Daerah Tatau-Sebauh, Tero Bayel.-EDISI UKAS