BETONG: Majlis Apresiasi 2024 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Betong telah berlangsung penuh gilang-gemilang bagi meraikan pencapaian pelajar dan guru dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Majlis yang disempurnakan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu itu diadakan di Dewan Gemilang MRSM Betong, pada Isnin.
Dato Dr Richard dalam ucapannya menzahirkan tahniah kepada warga MRSM Betong atas pencapaian membanggakan itu dan turut menyampaikan anugerah kepada pelajar dan guru cemerlang.
Beliau menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti ketekunan, disiplin dan daya juang tinggi para pelajar dan komitmen guru-guru yang tidak pernah luntur dalam mendidik anak bangsa.
"Majlis ini bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan akademik, malah menghargai usaha tanpa jemu para pendidik. Meskipun berdepan kekangan, mereka tetap gigih menabur bakti,” katanya.
Beliau turut menyentuh peranan penting pendidikan dalam era digital dan menekankan keperluan pelajar abad ke-21 menguasai kemahiran berfikir aras tinggi, komunikasi, kolaborasi dan literasi digital.
Sebagai sokongan kepada pihak sekolah, beliau mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada Badan Muafakat Cawangan MRSM Betong untuk pelaksanaan program sepanjang tahun ini.
Dalam pada itu, Pengetua MRSM Betong Juhaida Muhat Anuar berkata, majlis ini diadakan bagi meraikan kejayaan luar biasa pelajar dan guru dalam keputusan SPM 2024.
MRSM Betong telah dinobatkan sebagai MRSM terbaik di Sarawak, mengatasi MRSM Kuching dan MRSM Mukah.
Peningkatan ketara dicatatkan dengan Gred Purata Sekolah (GPS) melonjak dari 3.13 (2023) kepada 2.20 (2024).
Bilangan pelajar memperoleh semua A (9A/8A) juga meningkat dua kali ganda daripada 20 orang kepada 40 orang.
Turut hadir, YDP Badan Muafakat MRSM Betong, Henry Jugah, Timbalan Pengetua (Akademik) Mohd Hafis Idris, Timbalan Pengetua (Pembangunan Pelajar), Wan Azizul Wan Mohamad Nor dan Timbalan Pengetua (Pembangunan Bakat) Hamidah Ali.-EDISI UKAS