KUCHING: Cadangan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak adalah tepat pada masanya bagi memastikan tugas wakil rakyat dapat dijalankan dengan adil dan berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira berkata, Rang Undang-Undang Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 bukan sekadar perubahan pentadbiran tetapi langkah penting yang selari dengan prinsip pembangunan seimbang, tadbir urus berkesan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Penambahan 17 kerusi DUN ini adalah penyesuaian penting terhadap struktur demokrasi kita. Saya juga berharap penambahan kerusi Parlimen untuk Sarawak akan turut dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Sebagai rakan pengasas dalam Persekutuan Malaysia, Sarawak berhak mendapat perwakilan yang adil dan seimbang bukan sahaja di Dewan ini, tetapi juga di Parlimen.
“Ini bukan soal angka semata-mata, tetapi soal keadilan perlembagaan dan imbangan serantau,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (DUN) (Komposisi Keanggotaan) 2025 sempena Mesyuarat Khas, di DUN Sarawak, pada Isnin.
Sehubungan itu tambahnya, Parti Rakyat Sarawak (PRS) melalui Jawatankuasa Persempadanan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mencadangkan lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk satu kawasan Parlimen baharu.
Ujarnya, cadangan kerusi DUN baharu melibatkan Bukit Kelankang yang dibentuk daripada Bukit Begunan dan Simanggang, Mapai atau Sibu Jaya daripada Ngemah dan Dudong, Bukit Arip daripada Tamin dan Kakus, Tubau daripada Murum dan Kakus, Pengejau daripada Bekenu dan Marudi, Medamit daripada Batu Danau, Anau daripada Jepak dan Kakus serta Sungai Plan daripada Samalaju.
Selain itu ujarnya, terdapat juga cadangan kerusi Parlimen baharu iaitu Bukit Buan yang akan dibentuk daripada kawasan Kakus dan Tamin dalam sempadan Parlimen Selangau.
“Cadangan tersebut dibuat berdasarkan taburan pengundi, keluasan geografi serta keperluan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan terutamanya di kawasan pedalaman,” katanya. -EDISI UKAS