Dion Das Louis Harumkan Nama Sarawak Dengan Raih Pingat Perak Di Dance World Cup

Disiarkan pada 05 Jul 2025
Sumber Berita: ukas


SEPANYOL: Dion Das Louis, atau lebih dikenali sebagai ‘The Little Bornean Birdie’ sekali lagi berjaya mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia apabila meraih pingat perak dalam kategori Mini Solo National and Folkloredi pertandingan berprestij Dance World Cup, World Finals yang berlangsung pada 4 Julai 2025.

Pelajar Tahun 3 Sekolah Kebangsaan (SK) Green Road ini tampil cemerlang di pentas dunia apabila berjaya menewaskan 33 peserta lain dari pelbagai negara, mencatat markah tinggi sebanyak 93.8%, hanya dibezakan 0.3 markah daripada pememang pingat emas.

Persembahan Dion menampilkan tarian etnik kreatif yang diinspirasikan daripada tarian tradisional Ngajat Iban serta gerak tari dua burung ikonik Sarawak iaitu burung ruai dan kenyalang.

Koreografi unik dan penuh ekspresi ini mencerminkan keindahan budaya dan alam semula jadi Sarawak, sekaligus memukau juri serta penonton antarabangsa.

Persaingan amat sengit dengan kehadiran penari-penari muda hebat dari seluruh dunia, namun Dion tetap menonjol dengan persembahan bertenaga, penuh semangat dan penghayatan budaya yang tinggi.

Di kesempatan itu, keluarga Dion turut merakamkan penghargaan istimewa kepada semua penaja yang telah memberikan sokongan padu, antaranya Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Ghee Hua Group of Companies, Kelab Kaban Golf Samarahan, International Education Legacy Foundation, serta United Asia Entrepreneur Chamber of Commerce.

Untuk persembahan berdurasi dua minit itu, muzik latar Dion digubah khas oleh kumpulan Sada Borneo, manakala satu lagi muzik iringan adalah karya kumpulan etnik kontemporari Sarawak, At Adau.

Kostum perarakan Dion pula direka oleh pereka Sarawak yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Gilbert Headhunter, menampilkan gabungan unsur tradisional dan moden yang memukau.

Kejayaan Dion ini bukan sahaja menjadi kebanggaan buat keluarganya dan warga SK Green Road, malah mengangkat nama Sarawak di persada seni persembahan antarabangsa. -EDISI UKAS