SEMATAN: Usaha memperkasakan komuniti nelayan dan kelestarian alam sekitar terus dipergiat menerusi pelbagai inisiatif yang dilancarkan di Sematan.
Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan berkata, usaha Jabatan Perikanan Laut Sarawak dalam melaksanakan pelbagai inisiatif seumpama ini secara langsung menyumbang kepada pemeliharaan sumber marin dan peningkatan keselamatan nelayan.
“Pemasangan struktur lampu pandu arah di Kuala Lundu dan Kuala Sampadi, serta boya navigasi di Kampung Telok Melano sebagai langkah proaktif yang memberi kesan positif kepada komuniti nelayan.
"Dalam pada itu langkah-langkah konservasi seperti gotong-royong pembersihan pantai, ceramah kesedaran dan pameran yang melibatkan komuniti setempat amat wajar diteruskan dan diperluas," ujarnya semasa berucap dalam Program Pembersihan Pantai dan Inisiatif Perikanan, di sini, pada Jumaat.
Antara program utama yang berlangsung ialah Majlis Perasmian Program Pembersihan Pantai, Konservasi dan Penyerahan Bantuan Peralatan Perikanan serta Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Rumah Kakitangan Jabatan Perikanan Laut Sarawak Sematan.
Menurut Dato Ahmad Nadzri, sejak 1984 hingga 2024, sebanyak 45,386 unit tukun telah dilabuhkan di perairan Sematan, termasuk tukun Culvert Proka iaitu inovasi terkini Jabatan Perikanan yang membantu memulihara habitat marin serta memastikan ekosistem laut yang lestari.
Majlis turut menyaksikan penyerahan bantuan peralatan kepada lima Ketua Jaringan Perikanan (KJP), termasuk empat penerima di bawah program SPEKS dan seorang penerima Geran Agropreneur Muda (GAM).
Bantuan yang disalurkan termasuk peralatan GPS, yang berupaya meningkatkan kecekapan dan keselamatan nelayan.
Selain itu, turut diadakan sesi taklimat berhubung ancaman hidupan laut berbahaya seperti obor-obor berbisa Physalia physalis (Portuguese Man O’ War), sebagai usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan nelayan terhadap risiko harian di laut.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan upacara pecah tanah bagi projek pembinaan kuarters kakitangan Jabatan Perikanan Laut Sarawak Sematan yang menyediakan enam unit kediaman untuk kakitangan yang bertugas di kawasan luar bandar. -EDISI UKAS