Pengamal Media Diseru Terus Kekal Jadi Suara Rakyat: TPM

Disiarkan pada 02 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Pengamal media di negara ini diseru agar terus kekal menjadi suara rakyat, penjaga integriti serta rakan strategik kerajaan dalam membentuk landskap Malaysia MADANI yang inklusif, beretika dan tahan uji.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, kerajaan MADANI komited dalam membina ekosistem media yang beretika dan berdaya tahan.

Menurutnya, antara langkah besar dilaksanakan ialah pewartaan Akta Majlis Media Malaysia 2024 yang membuka jalan kepada sistem kawal selia kendiri (self-regulation) satu penanda aras kematangan dan kepercayaan terhadap industri.

“Ini bukan sekadar dasar. Ini pengiktirafan terhadap keringat, integriti dan peranan penting anda dalam masyarakat,” tegas beliau.

Beliau berucap demikian dalam Majlis Makan Malam Sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 Peringkat Sarawak dan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2025 di sini pada Rabu.

Selain itu katanya, langkah-langkah baharu memperkasa wartawan sambilan dan bebas seperti perlindungan SOCSO dan skim i-Saraan KWSP turut dilaksanakan selain diskaun tambang 50 peratus AirAsia ke destinasi ASEAN.

Dato Sri Fadillah turut menyentuh kepentingan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menjadi tumpuan industri media masa kini, mengakui impaknya yang menyeluruh dari pekerjaan hingga privasi termasuk terhadap dunia kewartawanan.

“Persoalannya bukan sama ada AI akan membentuk masa depan, ia pasti akan. Persoalannya ialah, adakah kita yang akan membentuk AI, atau AI yang akan membentuk kita?

“Saya percaya pada kebijaksanaan kolektif. Dengan kehadiran lebih 600 pengamal media malam ini, saya yakin kita mampu dan akan bangkit menghadapi cabaran ini," katanya lagi.

Beliau juga mengajak pengamal media menggunakan AI untuk memperkasa kewartawanan, sambil mengekalkan nilai-nilai empati, keadilan dan sensitiviti dalam kewartawanan.

Pada masa sama, beliau menzahirkan rasa bangga dengan keupayaan Sarawak menganjurkan SMeC yang menghimpunkan pengamal media dan pembuat dasar dalam satu ruang dialog profesional dan progresif.

Pada masa sama beliau turut mengumumkan dana kepada Kelab Kebajikan Kakitangan Unit Komunikasi Awam Sarawak (RM25,000), Kelab Belia Azam Bandar Kuching (RM25,000) Journalist Association of Kuching (KDJA) (RM15,000), Northern Sarawak Journalist Association (NSJA) (RM15,000), Sibu Journalists Association (SJA) (RM15,000) dan Institute of Rejang Journalists (IRJ) (RM15,000).

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS