Kerajaan Sarawak Pantau Situasi Covid-19 Di Singapura

Disiarkan pada 22 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus memantau situasi Covid-19 di Singapura setelah kerajaan republik itu melaporkan peningkatan dua kali ganda kes wabak berkenaan di negara tersebut.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, hal ini terutamanya sub varian Covid-19 baharu iaitu gabungan sub-varian KP.1 dan KP.2 yang kini menyumbang lebih dua pertiga daripada kes di Singapura.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memantau keadaan terkini di bawah Pengarah Institut Kesihatan & Perubatan Komuniti UNIMAS Prof. Dr. David Perera yang akan mengeluarkan hasil kajian mengenai kes di Singapura.

“Kita memang bekerjasama dengan UNIMAS di bawah Prof Dr David Perera bagi memantau mana-mana situasi Covid-19 yang berlaku dan beliau akan mengeluarkan hasil kajian mengenai perkara ini.

“Kita beruntung sebab hanya beberapa pusat (kajian kesihatan) di Malaysia mempunyai kemampuan untuk melakukan penjujukan genomik bagi mengesan varian Covid-19 yang baru dan UNIMAS mempunyai kemampuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Perayaan Hari Wesak di kuil Persatuan Buddha Sarawak pada Rabu.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menambah, Kerajaan Sarawak juga akan sentiasa memantau situasi Covid-19 di Sarawak melalui UNIMAS dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).

Ujarnya, Kerajaan Sarawak pada awal tahun ini juga telah membeli ubat antiviral Paxlovid  yang diagihkan di semua fasiliti kesihatan kerajaan di negeri ini bagi menampung keperluan rawatan dan akan dibekalkan kepada pesakit secara percuma.

Mengulas mengenai kemasukan rakyat Singapura ke Sarawak, Datuk Amar Dr Sim menyatakan tiada sekatan akan dilakukan memandangkan Covid-19 kini adalah diklasifikasikan sebagai endemik.

“Sebab sekarang kini hidup bersama virus (Covid-19) ini maka kita hidup terbuka dengan virus tersebut.

“Covid-19 kini terletak pada tanggungjawab setiap individu terutamanya menjalankan tabiat yang baik untuk menghindari wabak penyakit ini,” jelasnya. -EDISI UKAS