Pesta Babulang Dan Lumba Kerbau Produk Pelancongan Ikonik

Disiarkan pada 29 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


BATU DANAU: Penganjuran Pesta Babulang dan Lumba Kerbau perlu diperhebatkan lagi di masa akan datang sebagai produk pelancongan yang berpotensi meletakkan Sarawak di peta dunia.

Selain menyerlahkan keunikan budaya kaum Bisaya, penganjuran pesta ikonik itu sejak 2004 telah membantu merangsang sektor pelancongan Limbang dan Lawas dengan kedatangan pengunjung termasuk dari luar negara untuk menyaksikan perayaan unik itu.

Bagi Pemanca Jun Silah dari Limbang, penganjuran Pesta Babulang dan Lumba Kerbau harus diperhebatkan lagi di masa akan datang untuk tatapan generasi akan datang.

“Saya tengok dari tahun ke tahun, sambutan pesta ini semakin meningkat.

“Sebab itu kami kaum Bisaya juga becadang supaya ia dipertingkatkan lagi dari masa ke semasa,” katanya ketika ditemuramah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di tapak Pesta Babulang dan Lumba Kerbau 2025 di Batu Danau pada Sabtu.

Perasmian pesta itu disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bagi mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Sementara itu, peserta lumba kerbau, Mahli Hidup pula berharap agar tapak Pesta Babulang dan Lumba Kerbau diperbesarkan lagi agar dapat menarik kedatangan lebih ramai pengunjung dan aktiviti di masa hadapan.

“Saya amat menyokong saranan YB Dato agar tapak pesta ini diperbesarkan pada masa akan datang agar sambutan lebih meriah dari pelbagai kaum,” katanya.

Sementara itu, Ratu Babulang 2025, Sophie Shazwiena Shakrizan percaya penganjuran pesta itu dapat menjadi platform dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di situ.

Katanya, penganjuran pesta itu dapat menjadi platform dalam mendedahkan kepada orang ramai khususnya generasi baharu tentang laterbelakang mereka.

Selain itu usahawan kecil-kecilan seperti Jessica Francis Matu turut menerima impak ekonomi dengan berniaga di tapak pesta tersebut.

Justeru, peniaga kraftangan itu berharap penganjuran pesta itu termasuk aktiviti lain diteruskan di masa-masa akan datang agar mereka dapat terus menjana ekonomi.

Pesta Babulang dan Lumba Kerbau 2025 yang dianjurkan dari 27 - 29 Jun padat dengan pelbagai pengisian bagi memeriahkan penganjuran edisi ke-20 kali ini.

Selain lumba kerbau yang menjadi tumpuan, turut diadakan acara Fun Run, pertandingan ratu cantik, pertandingan bola sepak, tarik tali, jualan kraftangan, acara kebudayaan dan pelbagai lagi aktiviti menarik sepanjang tiga hari sambutan. - EDISI UKAS