Isteri Premier Sarawak Meninggal Dunia Pada Usia 76 Tahun

Disiarkan pada 23 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang, isteri kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meninggal dunia pada usia 76 tahun awal pagi tadi.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.34 pagi di Pusat Perubatan Normah, Kuching.

Menurut kenyataan rasmi dari Pejabat Premier Sarawak, majlis penghormatan terakhir akan diadakan di Masjid Jamek, Petra Jaya, Kuching untuk memberi peluang kepada orang ramai memberi penghormatan terakhir mulai jam 10 pagi hingga 12 tengah hari ini.

Manakala upacara pengebumian akan diadakan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya.

Allahyarhamah merupakan anak kepada mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang kedua, Allahyarham Tun Datuk Patinggi Tuanku Bujang Tuanku Othman.

Beliau juga merupakan Presiden Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI).

Allahyarhamah dan Premier Sarawak dikurniakan dua cahaya mata, Dato Abang Abdillah Izzarim dan Dayang Norjihan. - EDISI UKAS