KUCHING: Tebingan Sungai Sarawak disemarakkan dengan panorama kebudayaan yang memukau apabila Perarakan Budaya Gawai Dayak 2025 melabuhkan tirainya dalam suasana penuh gemilang dan meriah pada Sabtu.
Acara tahunan yang dinanti-nantikan itu menyaksikan sebanyak 91 kontinjen melibatkan 2,730 peserta berarak sejauh 1.2 kilometer dari Bangunan Tun Jugah ke Pentas Utama Tebingan Kuching, mempersembahkan keunikan busana tradisional, alunan muzik etnik serta tarian warisan masyarakat Dayak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengetuai barisan hadapan perarakan, sebagai simbol komitmen Kerajaan Sarawak dalam memelihara dan meraikan warisan budaya pelbagai etnik, di samping memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum.
Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Premier merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak 2025, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, serta barisan pemimpin kanan kerajaan negeri.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, dan Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyerikan lagi acara, mencerminkan Gawai Dayak sebagai sebuah perayaan kebudayaan bertaraf kebangsaan yang diraikan bersama dengan penuh muhibah.
Edisi tahun ini memberi tumpuan khas kepada komuniti Orang Ulu, yang memukau penonton dengan persembahan iringan alat muzik tradisional seperti sape, oguong dan kitaak, sekali gus menzahirkan kekayaan seni warisan Bumi Kenyalang.
Penyertaan kaum Iban dan Bidayuh pula memperkayakan kepelbagaian budaya, manakala kehadiran Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Cawangan Sarawak dan delegasi Dayak Kalimantan, Indonesia, mengukuhkan lagi jaringan budaya serantau Nusantara.
Buat julung kalinya, 12 kenderaan berhias dipertandingkan mengikut kategori etnik Orang Ulu, Iban dan Bidayuh, menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM10,000, RM5,000 dan RM3,000 bagi tempat pertama hingga ketiga.
Saguhati RM1,000 turut diberikan kepada kontinjen yang menyerlahkan kreativiti tersendiri.
Sebelum perarakan bermula, satu upacara ritual adat ‘Mamat’ telah diadakan di lobi Bangunan Tun Jugah, diketuai oleh Pemanca Tony Kulleh dari komuniti Kenyah, Belaga bagi memohon restu roh nenek moyang agar perarakan berjalan dengan lancar dan diberkati.
Dengan penyertaan pelbagai etnik, Perarakan Gawai Dayak 2025 bukan sekadar pentas peragaan kostum tradisional, malah menjadi wadah penting dalam memperkukuh solidariti dan jati diri rakyat Sarawak yang majmuk.
Kehadiran pemimpin tertinggi kerajaan negeri dan tetamu diraja turut menzahirkan penghormatan terhadap warisan Dayak yang kaya dan berwarna-warni, serta memperteguh iltizam bersama dalam mengekalkan budaya warisan agar terus subur di era kemodenan.
Perarakan melabuhkan tirainya dalam sorakan gemuruh penonton, namun gema sape dan laungan 'Gayu Guru Gerai Nyamai' terus bergema di angkasa Kuching, menandakan semangat yang tidak pernah luntur untuk mempertahankan tradisi sambil mara ke hadapan.-EDISI UKAS