Kompleks Baharu JPJ Sarikei Lambang Peningkatan Infrastruktur & Perkhidmatan Awam

Disiarkan pada 20 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Pembukaan Kompleks Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sarikei disifatkan sebagai satu mercu tanda baharu dalam landskap pembangunan infrastruktur kerajaan di Sarikei, sekaligus mencerminkan komitmen tinggi terhadap peningkatan mutu perkhidmatan awam.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata pembinaan kompleks tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan warga JPJ dan masyarakat setempat, malah menyumbang kepada pengukuhan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.

“Kompleks baharu ini akan meningkatkan kecekapan pentadbiran dan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.

"Ia juga diharap menjadi pemangkin kepada sistem perkhidmatan awam yang lebih dinamik, telus dan berpaksikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Perasmian Kompleks JPJ Cawangan Sarikei yang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah di Dewan Serbaguna kompleks tersebut, pada Khamis.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengangkutan Malaysia Dato' Normah Osman; Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia Datuk Aedy Fadly Ramli; Residen Bahagian Sarikei Datu Micheal Ronnie Langgang dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak Norizan Jili.

Dato’ Sri Huang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, atas kepimpinan berwawasan dalam memacu agenda pembangunan negeri.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu lagi, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, pelbagai inisiatif pembangunan seperti Pelan Mobiliti Sarawak, Transit Signal Priority (TSP) dan lampu isyarat pintar telah berjaya dilaksanakan, sekaligus memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Semoga kompleks ini menjadi lambang kecemerlangan perkhidmatan JPJ di Sarikei serta bukti komitmen kita dalam memperkukuh jaringan infrastruktur untuk kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.

Menariknya, Kompleks JPJ Sarikei turut mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya pejabat JPJ di Sarawak yang dilengkapi dengan kemudahan kuarters bagi pegawai dan kakitangan, yang sekali gus memperkukuh aspek kebajikan dan keberkesanan operasi agensi.-EDISI UKAS