KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan mengadakan majlis makan malam mesra bagi meraikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis.
Majlis makan malam tersebut berlangsung dalam suasana penuh mesra dan keakraban bertempat di Restoran Toh Yuen, Hotel Hilton Kuching pada Khamis malam.
Dalam suasana santai dan penuh keakraban, perbualan mesra turut menyentuh pelbagai topik menarik termasuk sejarah Sarawak, merangkumi era sebelum dan selepas pemerintahan Brooke, serta tempoh Sarawak sebagai koloni British.
Perbincangan turut meliputi halatuju pembangunan negeri Sarawak serta potensi kerjasama dua hala antara Sarawak dan Perlis dalam pelbagai bidang.
Turut mengiringi Tun Pehin Sri Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah ialah anakanda Sharifah Fariah dan suami, Mohd Syukri; Sharifah Nong-Jasima dan suami, Hakeem serta Tasneem.
Sementara itu, Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut ditemani anakanda, Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra.-EDISI UKAS
Foto: Astana Negeri Sarawak