14 Tapak Warisan Diwartakan, Usaha Sarawak Perkukuh Pemuliharaan Sejarah

Disiarkan pada 18 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sebanyak 14 lokasi di Sarawak telah diwartakan sebagai tapak warisan, sekali gus memperkukuh usaha kerajaan negeri dalam melindungi aset sejarah dan budaya tempatan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, antara tapak yang telah diwartakan termasuk Rumah Panjang Melanau di Kampung Sok (Matu), Rumah Sri Tanjung di Tanjung Lobang, (Miri), Gereja Sacred Heart di Sungai Bawan (Kanowit), Makam Dato Permaisuri (Miri) dan Pusara Ali Wallace di Kampung Jaie (Sadong Jaya) .

Turut tersenarai ialah Kubur Shariff Skrang, Kampung Igan, Tapak Masjid Bandaraya Kuching, Tapak Pertempuran Beting Maru, Lombong Arang Batu Brooke (Simunjan), Batu Ritung Pa’lungan (Bario), Tapak Pertempuran Kampung Jakar di Biawak (Lundu), Batu Tuang Semebak, Lipatan Batu Swiss (Demak) serta Tapak Pendaratan Kapal Tentera Jepun di Pantai Brighton.

“Masih banyak lagi tapak yang dikenal pasti dan sedang diteliti sama ada ia mempunyai nilai warisan serta layak diwartakan atau tidak,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tahunan Majlis-Majlis Warisan Sarawak 2025 di sini, hari ini.

Menurut Dato Sri Abdul Karim, tugas Majlis Warisan Sarawak antara lain adalah untuk memberi nasihat kepada kerajaan mengenai langkah pemuliharaan serta merangka hala tuju strategik dalam melindungi khazanah negeri.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Muzium Budaya Borneo telah merekodkan seramai 117,095 pengunjung dari Januari hingga 16 Jun tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan sejak pembukaannya pada 2022 sebanyak 1,354,275 pengunjung.

“Muzium ini mula dibuka pada 2022. Jadi, dari tarikh itu hingga semalam, kita telah menerima lebih 1.3 juta pengunjung,” katanya.

Hadir sama, Timbalan - Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Sebastian Ting Chew Yew.-EDISI UKAS