KUCHING: Sambutan Gawai Dayak anjuran Jabatan Premier Sarawak (JPS) diraikan dengan semangat kesatuan di bawah slogan 'Sarawak Civil Service (SCS) One Team'.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik berkata, Gawai Dayak merupakan waktu untuk bergembira, merenung dan memperkukuh perpaduan, di mana ahli keluarga, sahabat handai dan orang tersayang berkumpul dalam semangat kebersamaan dan kesyukuran.
"Di JPS, SCS One Team bukan sekadar satu slogan, tetapi ia membawa makna sebagai 'Satu Keluarga' mencerminkan cara hidup kita seperti yang dibayangkan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
"Sambutan Gawai pada hari ini mencerminkan semangat tersebut, di mana kita bersatu sebagai satu keluarga besar untuk menghormati budaya, tradisi dan nilai murni masyarakat Dayak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sambutan Gawai Dayak JPS di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Petra Jaya pada Selasa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hadir menyempurnakan majlis tersebut.
Datu Buckland menambah, tema “Peji Kenep Panau Pegep” yang membawa maksud "Bersatu Kita Maju", menyuarakan aspirasi bersama dalam SCS One Team seiring dengan visi Premier Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
Ujarnya, ia bukan sahaja bertujuan untuk menjadikan Sarawak sebuah wilayah berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030, tetapi juga inklusif, adil dan saksama.
"Oleh itu, marilah kita terus melangkah ke hadapan bersama-sama sebagai One Team, bersatu dalam tujuan dan semangat.
"Apabila kita berdiri bersama, tiada cabaran yang terlalu besar, tiada matlamat yang terlalu jauh.
"Seperti yang dikatakan, "TEAM" bermaksud "Together Everyone Achieves More" - maka jadikan ini sebagai prinsip panduan kita dalam merealisasikan impian Sarawak yang kita semua dambakan," katanya.
Pada majlis tersebut, seramai 163 orang pelajar daripada kumpulan B40 dari SK St. Francis Xavier, Kampung Seratau, Padawan telah menerima sumbangan beg sekolah dan kelengkapan alat tulis asas di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) JPS yang disempurnakan oleh Premier Sarawak.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; Menteri Di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai; barisan Kabinet Menteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; barisan kabinet Timbalan Menteri Sarawak, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS