PAKAN: Penganjuran Pekit Kumang menjadi platform terbaik bagi kaum Iban mempromosi keunikan ‘ngepan’ tradisional serta budaya asal ke tahap yang lebih baik.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Tan Sri William Mawan Ikom berkata Pekit Kumang ini merupakan satu budaya asal kaum Iban termasuk juga Pekit Keling yang mempunyai makna yang besar kepada masyarakat Iban.
Menurutnya, pertandingan ini juga melambangkan ketamadunan bangsa Iban yang mempunyai warisan tersendiri yang patut diketengahkan serta diwarisi turun-temurun dan berbangga dengan budaya asal masyarakat Iban yang diperagakan melalui Pekit Kumang dan Pekit Keling.
Tan Sri William Mawan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan turut menepis tomahan dan persepsi negatif terhadap Pekit Kumang ini.
“Pertandingan ini tidak merendahkan martabat seseorang wanita tetapi ianya berupaya untuk mengangkat martabat kaum wanita Iban ke tahap yang tinggi.
“Pekit Kumang ini bukan hanya mempamerkan wajah yang cantik, tetapi turut menguji kepintaran dan kepetahan para peserta dalam soal jawab.
“Ini memerlukan keberanian para peserta untuk membuat pengucapan awam di khalayak ramai dan pada masa yang sama dapat mempromosikan ngepan asal bangsa Iban,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Makan Malam Mantar Gawai Dayak anjuran Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Dewan Masyarakat Pakan pada Sabtu.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) itu turut menegaskan masyarakat Iban patut berbangga memiliki budaya yang unik sebab pertandingan ini sentiasa mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Malah tambahnya, ada antara pemenang Pekit Kumang dilamar sebagai duta produk kecantikan dari pelbagai agensi.
Pada majlis yang sama, Tan Sri William Mawan menyeru kepada generasi muda agar jangan malu untuk belajar dan mengamalkan adat asal bagi menyambut perayaan Hari Gawai Dayak.
“Pelajari dan pertahankan adat asal kita supaya dapat diturunkan kepada generasi muda agar tidak pupus ditelan zaman.
“Adat dan budaya kita turut melambangkan keunikan masyarakat Iban yang tiada pada masyarakat lain, jadi ini kelebihan kita,” ujarnya.
Beliau turut mengulas tentang Rumah Dayak dan amat mengalu-alukan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melakukan aktiviti di situ.
Pada masa sama, beliau menasihati KMKK di Pakan agar sentiasa dekat dengan rakyat di peringkat akar umbi dan peka kepada permasalahan rakyat.
Tegasnya, KMKK adalah jambatan penghubung antara rakyat dengan kerajaan dan mereka semua harus komited untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab. – EDISI UKAS