Dato Sri Dr. Wan Lizozman Terajui SBA, Fokus Pulihkan Imej dan Perkasa Badminton Sarawak

Disiarkan pada 13 Jun 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar dipilih sebagai Presiden baharu Persatuan Badminton Sarawak (SBA) selepas menang tanpa bertanding dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) SBA yang diadakan di sini, pada Jumaat.

Dalam ucapan sulungnya, beliau yang juga Setiausaha Kewangan Sarawak merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan dan berikrar untuk menerajui SBA dengan ketelusan, kerendahan hati dan hala tuju strategik yang jelas.

“Pelantikan ini adalah satu penghormatan besar dan tanggungjawab yang mendalam.

“Saya menyeru agar semua ahli gabungan terus bersatu demi memperkasa SBA,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan SBA.

Turut dipilih tanpa bertanding ialah Ting Wei Ping sebagai Timbalan Presiden SBA.

Bagi memastikan kepimpinan SBA bersifat inklusif dan mewakili seluruh negeri, Dato Sri Dr. Wan Lizozman mengumumkan bahawa semua Presiden persatuan gabungan akan secara automatik dipilih sebagai Naib Presiden SBA.

Langkah ini katanya, akan menjamin penyertaan menyeluruh dari pelbagai bahagian di Sarawak dalam proses pembuatan keputusan di peringkat tertinggi SBA.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Abdul Aziz Husain, mantan Presiden SBA, atas kepimpinan cemerlang dan sumbangan berterusan dalam memperkukuh asas organisasi tersebut.

Dalam barisan baharu kepimpinan, Dato Sri Dr. Wan Lizozman turut mengumumkan pelantikan Datuk Dr. Wan Khalik Wan Muhammad sebagai Setiausaha dan Jonathan Kho sebagai Bendahari.

“Kedua-dua individu ini membawa pengalaman luas dan bakal memainkan peranan penting dalam menjayakan pelan strategik persatuan.

“Pelantikan Datuk Dr. Wan Khalik juga memberi nilai tambah apabila beliau secara automatik akan menjadi ahli Majlis Tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), mewakili Sarawak di peringkat nasional — satu langkah signifikan untuk memperkukuh suara negeri dalam dasar badminton negara,” jelasnya.

Mengulas cabaran lalu termasuk penggantungan sementara SBA, Presiden baharu itu menegaskan keperluan mendesak untuk memulihkan imej dan kepercayaan masyarakat terhadap SBA.

“Sudah tiba masanya untuk kita bangkit dan memulihkan keyakinan semua pihak — daripada atlet akar umbi hingga ke rakan strategik dan pemimpin negeri. Prinsip ketelusan, profesionalisme dan kemajuan akan menjadi teras pentadbiran SBA,” tegasnya.

Menjelang temasya SUKMA 2026, Dato Sri Dr. Wan Lizozman menyatakan komitmennya untuk memastikan pasukan badminton Sarawak bersiap siaga dari segi latihan berprestasi tinggi, pembangunan atlet dan sokongan menyeluruh.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan bersejarah Sarawak meraih pingat emas pertama dalam badminton SUKMA 2024 melalui pemain perseorangan wanita negeri itu, yang dianggap sebagai pembakar semangat untuk melonjakkan lagi pencapaian negeri di peringkat nasional.

Sebagai langkah awal reformasi, beliau turut mengumumkan pembentukan beberapa jawatankuasa kerja utama merangkumi aspek pembangunan, teknikal, kejohanan dan komersial yang akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis SBA yang akan datang.

Mesyuarat Agung SBA kali ini turut dihadiri oleh semua persatuan gabungan dari seluruh Sarawak, sekaligus menandakan permulaan era baharu yang lebih profesional, inklusif dan progresif dalam landskap sukan badminton negeri ini.-EDISI UKAS