KUCHING: Pasar Serikin merupakan pasar sempadan yang pertama menggunakan konsep tanpa tunai atau ‘cashless’ di Malaysia.
Dalam satu kenyataan media daripada Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade) pada Ahad, seramai 100 peniaga pasar hujung minggu Serikin yang terkenal telah mendaftarkan diri pada fasa awal kempen e-Duit @ Serikin.
“Usaha kerjasama antara Merchantrade, Bank Negara Malaysia dan Payments Network Sdn Bhd (PayNet) dilancarkan pada September 2023 untuk memacu penggunaan pembayaran digital dalam komuniti luar bandar Sarawak.
“Ia telah bermula dengan pasar hujung minggu Serikin dan berjaya menjadi pasar sempadan berkonsep tanpa tunai pertama di negara ini,” jelasnya.
Katanya, peniaga pasar Serikin telah menggunakan eWallet Merchantrade Money sebagai sebahagian daripada kempen e-Duit @ Serikin yang membolehkan pelawat membuat pembayaran digital kepada peniaga dengan kod QR.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep menekankan kepentingan pembayaran digital untuk pertumbuhan masyarakat luar bandar.
"Memeluk kaedah pembayaran digital adalah penting untuk mempercepatkan celik kewangan digital dalam kalangan masyarakat membangun seperti Serikin di seluruh Malaysia," jelasnya.
Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K Veeran berkata, kempen tersebut telah menunjukkan kesan perkhidmatan kewangan inklusif ke atas komuniti tempatan Serikin yang sejajar dengan agenda digital Kerajaan Sarawak.
"Ekosistem digital yang kita bangunkan dengan penyelesaian Merchantrade Money DuitNow QR inovatif telah memudahkan pembayaran yang lebih selamat dan mudah untuk kedua-dua peniaga dan pelanggan," katanya. -EDISI UKAS