SIBU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Patinggi Ahmad Zahid Hamidi berikrar akan mengutamakan pembangunan dan infrastruktur kawasan luar bandar di Sarawak khususnya bagi projek yang diluluskan oleh kerajaan persekutuan.
Katanya, pembangunan dan infrastruktur kawasan luar bandar di Sarawak terus menjadi fokus beliau selagi diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menyelia Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW).
“Lagipun, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum menyebut projek yang telah diluluskan tetapi lambat dilaksanakan. Saya akan bawa perkara ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Saya akan kerap melawat Sarawak untuk membantu mempercepatkan pelaksanaan projek-projek ini,” katanya semasa berucap pada sambutan Pra-Gawai anjuran PRS di Hotel Kingwood Sibu pada Sabtu.
Beliau yang juga Menteri KKDW mengakui keperluan besar penduduk luar bandar terhadap infrastruktur, projek air, elektrik, serta balai raya.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Zahid Hamidi berkata Parti Rakyat Sarawak (PRS) telah memberi sumbangan besar kepada Sarawak dan Malaysia.
Beliau menegaskan usaha ketara pemimpin parti itu termasuk bekas Presidennya, Allahyarham Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing dan pemimpin semasa.
“PRS sangat dekat di hati saya kerana Allahyarham Tan Sri James merupakan sahabat saya. Datuk Joseph Salang Gandum juga merupakan rakan sekerja saya ketika kami berdua di Parlimen.
“Saya yakin prospek kemajuannya sangat cerah, terutama dengan Datuk Seri Aaron Ago Dagang, yang merupakan Menteri Perpaduan Negara. Pelbagai program telah dianjurkan di seluruh Malaysia di bawah kementeriannya,” katanya.
Tambahya, sumbangan PRS sebagai sebuah parti politik dirasai di seluruh Malaysia dan seharusnya menjadi kebanggaan kepada parti itu.
Terdahulu, Datuk Joseph Salang dalam ucapannya menyeru KKDW menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan yang diluluskan di kawasan luar bandar secepat mungkin.
Beliau berkata projek-projek ini, tanpa mengira saiznya, akan meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar dengan ketara.
“PRS adalah satu-satunya parti politik yang memperjuangkan nasib rakyat di luar bandar.
“Justeru, kita berharap kementerian akan mencari jalan untuk menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan yang telah dirancang,” katanya.
Beliau berkata pemimpin PRS akan menyerahkan surat permohonan pembangunan kepada Datuk Patinggi Ahmad Zahid pada Ahad.
Turut hadir Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang, Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak Dato Sri Doris Sophia Brodie, barisan-barisan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Dewan Negara dan tetamu lain. – EDISI UKAS