Projek Trunk Road Kedua Sarawak Sedia Laluan Ke Pelabuhan & Lapangan Terbang Baharu

Disiarkan pada 11 Jun 2025
Sumber Berita: ukas


KOTA SAMARAHAN: Projek Trunk Road Kedua Kuching–Samarahan bukan sekadar naik taraf jalan luar bandar, tetapi turut menjadi pemangkin kepada pembangunan pelabuhan dalam dan lapangan terbang baharu di Sarawak.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata jajaran jalan dari Jambatan Batang Sejingkat ke Jambatan Batang Samarahan melalui Kampung Tanjung Bako merupakan komponen penting dalam program Jalan Utama Kedua Sarawak yang menghubungkan kawasan dari Kuching sehingga ke Betong.

“Bermula dari Jambatan Batang Sejingkat, jajaran ini meliputi tiga pakej pembinaan, dan untuk lokasi D3C di mana kita berada hari ini, ia merangkumi 7 kilometer daripada keseluruhan 17 kilometer laluan.

“Baki 10 kilometer laluan dari Kampung Tanjung Bako ke Jambatan Batang Sejingkat telah disiapkan menerusi pakej terdahulu,”katanya ketika melakukan lawatan tapak ke Projek Second Kuching–Samarahan Trunk Road (D3C), di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Datuk Ir Aidel turut mendedahkan bahawa sambungan jalan ini juga akan menjadi landasan awal kepada perancangan masa depan untuk menghubungkan kawasan strategik seperti Tanjong Embang, Batu Belat, Beliong dan Semilang Beradeh, yang akhirnya akan disepadukan dengan pembangunan pelabuhan dalam dan lapangan terbang.

“Kita mahu pastikan apabila pelan induk untuk pelabuhan dalam dan lapangan terbang baharu siap, laluan jalan ini mampu menampung jaringan pengangkutan berkembar bagi menyokong keperluan logistik dan perhubungan masa depan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut menegaskan keperluan kontraktor projek untuk mempertingkat kadar bekalan pasir bagi membentuk tambakan, memandangkan jumlah yang diperlukan adalah besar dan kritikal untuk kemajuan fizikal kerja.

“Kita tidak mahu projek ini menjadi satu lagi projek sakit. Ia kini berada pada tahap 23.09 peratus berbanding jadual 23.13 peratus, hanya sedikit lewat.

“Tapi kita tidak boleh ambil mudah. Antara faktor kelewatan ialah isu utiliti, perubahan reka bentuk, dan kelewatan bekalan bahan mentah, terutama pasir,” tegas beliau.

Projek ini turut digolongkan sebagai projek penyelamat oleh kerajaan negeri, justeru sebarang kelewatan akan memberi kesan domino kepada perancangan pembangunan jangka panjang, khususnya di kawasan pesisir dan luar bandar.

Datuk Ir Aidel turut menyatakan komitmen kementeriannya untuk terus memantau rapi pelaksanaan projek ini dan menggesa semua pihak berkepentingan agar berganding bahu demi memastikan visi pembangunan infrastruktur Sarawak tercapai.-EDISI UKAS