KUCHING: Inisiatif Bantuan Kewangan Khas (BKK) sebanyak RM1,200 setahun yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak bagi pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terus mendapat sambutan positif daripada golongan mahasiswa.
Bantuan ini dilihat sebagai usaha yang amat signifikan dalam meringankan beban kewangan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka.
Menurut tinjauan yang dijalankan oleh wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), bantuan tersebut meliputi pelbagai bentuk, termasuk pemberian zakat, tablet percuma, bantuan menerusi aplikasi SarawakPay, dan pelbagai inisiatif lain.
Menurut seorang pelajar Khairul Anwar, beliau pernah menerima bantuan zakat berupa wang sagu hati sebelum melanjutkan pelajaran ke universiti.
Selain itu katanya, beliau turut menerima tablet percuma dan bantuan daripada SarawakPay yang digunakan untuk keperluan pembelajaran.
“Sebagai pelajar, saya rasa bantuan ini sangat mencukupi. Perbelanjaan sebagai penuntut universiti memang besar, tetapi bantuan seperti zakat banyak membantu. Makanan pun kadang-kadang sudah termasuk dalam bantuan tersebut,” katanya.
Tambah Khairul, beliau turut bekerja secara sambilan untuk menampung kos sara hidup, namun tidak menafikan bahawa bantuan kerajaan Sarawak amat membantu meringankan bebannya sebagai pelajar.
Bagi Aisyah Humaira, bantuan yang diterima termasuk tablet percuma daripada kerajaan Sarawak menjadi alat penting dalam proses pembelajaran.
“Tab tersebut sangat membantu kami buat tugasan, tengok nota, dan siapkan kerja kursus. Terima kasih kepada kerajaan Sarawak atas sumbangan yang sangat besar dan memudahkan pelajar untuk terus belajar,” ujarnya dengan penuh penghargaan.
Aisyah turut menyuarakan harapan agar kerajaan Sarawak meneruskan inisiatif tersebut dan menambah baik sumbangan agar lebih ramai pelajar mendapat manfaat.
Sementara itu, pelajar bernama Nur Asfa Arissa menyatakan rasa syukur kerana pernah menerima bantuan daripada kerajaan termasuklah bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Sebagai pelajar, memang mencukupi dan sangat berfaedah. Semua proses pun mudah. Terima kasih kerajaan Sarawak dan saya harap inisiatif ini diteruskan, lebih-lebih lagi untuk anak-anak Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Afif walaupun tidak berkesempatan menerima bantuan secara langsung, tetap menyokong penuh inisiatif tersebut yang dilihat sangat membantu pelajar lain yang lebih memerlukan.
“Kita tahu tidak semua orang mampu. Kadang-kadang ada pelajar mahu sambung belajar, tetapi terhalang sebab kekangan kewangan. Jadi saya harap bantuan seperti ini dapat diteruskan lagi. Terima kasih kerajaan Sarawak,” ujar beliau.
Pelbagai bentuk sokongan yang disediakan oleh kerajaan Sarawak jelas memberi impak positif kepada kehidupan pelajar, bukan sahaja dari aspek akademik tetapi juga dalam membantu mengurangkan tekanan kewangan.
Harapan mereka sama agar usaha ini diteruskan demi masa depan pendidikan anak-anak negeri.-EDISI UKAS