Dasar Peralihan Tenaga Pacu Sarawak Ke Arah Masa Depan Tenaga Mampan

Posted on 10 Jun 2025
Source of News: UKAS


SHANGHAI: Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) merupakan satu rangka kerja strategik yang direka khas untuk negeri ini ke arah masa depan tenaga yang mampan dan rendah karbon.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, keselamatan dan kemampuan tenaga adalah teras kepada pembangunan ekonomi Sarawak yang pesat dan inklusif.

Menurut beliau, bekalan tenaga yang boleh dipercayai, mampu milik dan mampan adalah penting untuk keperluan populasi dan perniagaan yang kian berkembang di negeri ini.

Dengan sasaran penjanaan 10 gigawatt (GW) tenaga pada 2030 dan 15GW menjelang 2035, dasar peralihan tenaga ini penting dalam menyokong aspirasi Sarawak untuk menjadi peneraju dalam tenaga diperbaharui di rantau ini, ujar beliau.

“Sarawak juga telah meminda Ordinan Elektrik pada 2023 untuk memberi penekanan yang lebih kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

“Ini mengukuhkan persekitaran kawal selia kami dengan membolehkan pembangunan tenaga solar dan lata; memudahkan penyertaan pengeluar kuasa bebas; menggalakkan tenaga elektrik yang dijana pengguna dan suapan kepada grid; dan mewajibkan piawaian tinggi untuk kebolehpercayaan grid dan pematuhan alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucaptamanya bertajuk “Renewable Energy Sarawak: Powering Sustainable Growth” yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros), Dato Ibrahim Baki semasa Persidangan Tenaga Pintar dan Solar Fotovoltaik Antarabangsa 2025 (SNEC PV) Ke-18 bertempat di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa (NECC), Intercontinental Shanghai Hongqiao, China pada Selasa.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Sarawak kini mencapai kapasiti penjanaan 5,898MW tenaga, dengan kuasa hidro membentuk lebih daripada 60 peratus - disokong oleh sumber haba asli untuk keselamatan tenaga.

Selain itu, Sarawak katanya menyasarkan untuk mencapai kapasiti penjanaan 1,500MW tenaga solar menjelang tahun 2030 untuk memacu matlamat tenaga boleh diperbaharuinya.

“Dengan tenaga kuasa hidro yang kukuh untuk menyokong solar, kami membangunkan projek solar terapung berskala besar pertama Sarawak - Ladang Solar Terapung Batang Ai 50MW, yang menjana kuasa pertamanya pada Disember 2024. Ini juga merupakan inisiatif hidro-solar hibrid pertama Malaysia.

“Dari kejayaan ini, kami kini meneroka projek solar terapung berskala lebih besar di tadahan loji hidroelektrik kami yang lain dengan rakan kongsi serantau dan antarabangsa serta pengeluar tenaga bebas,” ucapnya lagi.

Melangkah ke hadapan, Sarawak katanya beriltizam untuk muncul sebagai kuasa tenaga diperbaharui dan bateri ASEAN dengan berkongsi sumber tenaga kepada negara jiran.

Menurutnya, kejayaan eksport tenaga rentas sempadan pertama ke Kalimantan Barat pada 2016 memberi keyakinan kepada Sarawak untuk meneruskan projek sambungan tenaga ke Sabah dan Brunei Darussalam serta sambungan kabel dasar laut dengan Semenanjung Malaysia dan Singapura.

“Semua ini membuka jalan kepada Grid Borneo yang saling berkaitan dan Grid Kuasa ASEAN yang lebih luas,” tambah beliau lagi.

Di akhir ucapannya, beliau mengajak pemain industri tenaga untuk menyertai Forum Tenaga Diperbaharui dan Kelestarian Sarawak Energy (SAREF 4.0) dijadual berlangsung pada 3-4 September ini di Kuching.

Bertemakan ‘Partnerships for Our Goals: Sustainable Growth & Prosperity for the Region’, forum itu katanya akan menjadi landasan untuk mewujudkan kerjasama serantau di seluruh Asia Tenggara.

Turut hadir pada persidangan tesebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Datu Jafri Lias; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili, dan delegasi kerajaan negeri yang lain.

Persidangan pameran perdagangan tenaga dan solar fotovoltaik terbesar dan paling berpengaruh di dunia itu berlangsung dari 10 hingga 13 Jun ini berjaya menarik lebih 3,000 pempamer dari 95 negara.

Ia menjadi platform antarabangsa untuk membentangkan dan membincangkan kemas kini dasar, trend pasaran serta menjalin rangkaian antara satu sama lain dan meningkatkan keterlihatan terhadap pihak berkepentingan industri dan dasar. -EDISI UKAS