Projek Tebatan Banjir RM50 Juta Fasa 2 Beri Nafas Baharu Penduduk Miri

Posted on 10 Jun 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Miri Fasa 2 bernilai RM50 juta bakal memberi nafas baharu kepada penduduk di beberapa kawasan kritikal di Miri yang sering dilanda banjir.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek tersebut merupakan kesinambungan daripada Rancangan Tebatan Banjir Sungai Lutong B yang telah dirancang untuk menyelesaikan isu banjir berulang di kawasan-kawasan utama seperti Taman Tunku, Padang Kerbau, Pujut Tanjong Batu, Jalan Bypass Riam dan Taman Lopeng Baru.

“Saya telah membangkitkan isu ini sejak tahun 2021 dan mencadangkan agar satu kajian komprehensif dilaksanakan bagi menghasilkan pelan mitigasi banjir yang menyeluruh,” jelas beliau semasa mempengerusikan mesyuarat dan sidang media di Bilik Mesyuarat Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Miri pada Isnin.

Projek yang melibatkan kawasan tadahan Sungai Dalam seluas 67 kilometer persegi ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 penduduk termasuk di kawasan Hospital Miri, Eastwood Valley, Kampung Lusut, Taman Milea, Pusat Komersial Assar serta beberapa taman perumahan utama lain.

Dato Sri Lee menambah, keutamaan akan diberikan kepada kawasan yang paling kerap dan teruk dilanda banjir seperti Taman Lopeng Baru, Padang Kerbau dan sekitar Riam Bypass.

“Saya mencadangkan agar kerja-kerja pembinaan dimulakan di kawasan yang paling kerap dilanda banjir terlebih dahulu supaya kesan dan manfaatnya dapat dirasai segera oleh penduduk setempat,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, projek ini dijangka mengambil masa selama 60 bulan untuk disiapkan dan kini berada dalam proses mendapatkan kelulusan penempatan tapak, manakala proses tender dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pihak agar perancangan pembangunan baharu di Miri perlu mengambil kira aspek sistem saliran yang mencukupi.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Jurutera Bahagian DID Bahagian Miri, Daniel Chen, Kapitan Jee Kee Hiong, Kapitan Chong Khee Fah, Kapitan Connie Tang, Kaunselor William Sim Cheng Tiong dan Setiausaha SUPP Cawangan Senadin, Jeffrey Phang.-EDISI UKAS